KUALA LUMPUR 4 Mei – Kim Hin Industry Berhad mencatatkan penyusutan 15.17% kerugian selepas cukai kepada sebanyak RM23.9 juta bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2025 (FY25).
Situasi positif tersebut ujarnya disokong oleh beberapa faktor, antaranya tindakan pelupusan yang melibatkan pelbagai aset termasuk hartanah, loji dan peralatan dengan kesemua berjumlah RM3.6 juta.
Syarikat berkenaan dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, ia memperoleh pendapatan sebanyak RM258.9 juta, merudum kira-kira 16.8% berbanding sebanyak RM311.2 juta pada tahun sebelumnya.
"Kemerosotan ini dilihat berlaku secara seragam dalam semua segmen geografi akibat permintaan hartanah semasa yang lemah dan ketidaktentuan ekonomi global," jelas Kim Hin dalam kenyataan berkenaan.
Meskipun masih mencatatkan kerugian, jumlahnya adalah lebih rendah berbanding RM28.2 juta pada 2024, disebabkan tekanan faktor kos pengeluaran tinggi, terutamanya melibatkan kenaikan kos bahan api.
Ini termasuk gas asli dan gas petroleum cecair (LPG), serta persaingan harga yang sengit, daripada lambakan produk import berharga lebih murah, sehingga menjejaskan trend permintaan dan jualan.
Ujarnya, kerugian pertukaran mata wang asing (forex) lebih rendah iaitu RM0.7 juta berbanding RM5.3 juta pada FY24, selain disiplin pengurusan dengan perbelanjaan operasi turun kepada RM113.6 juta.
Operasi Kim Hin di China merupakan satu-satunya segmen yang mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) positif sebanyak RM10.5 juta, manakala Malaysia, Australia dan Vietnam mencatatkan kerugian.
"Justeru, Lembaga Pengarah tidak mengesyorkan sebarang pembayaran dividen bagi tahun kewangan 2025 bagi mengekalkan fleksibiliti kewangan dan kecairan tunai dalam persekitaran mencabar," kataya.
Kumpulan menjangkakan persekitaran operasi akan kekal sengit disebabkan ketidaktentuan kos tenaga dan konflik geopolitik global, namun syarikat kini memfokuskan kepada strategi rasionalisasi aset.
Di samping itu, pihak pengurusan Kim Hin turut melaksanakan usaha pengoptimuman logistik, dan pengurusan modal kerja yang lebih ketat secara berterusan untuk meningkatkan daya tahan perniagaan.
Setakat 31 Disember 2025, syarikat mengekalkan kedudukan kunci kira-kira yang kukuh dengan rizab tunai dan pelaburan cair sekitar RM65 juta serta nisbah penggearan rendah. - DagangNews.com








