KUALA LUMPUR 20 Mei – DutaLand Berhad mencatatkan kerugian bersih amat ketara sehingga mencecah sebanyak RM10.2 juta bagi tempoh suku ketiga yang berakhir pada 31 Mac 2026 (3QFY26).
Prestasi tersebut menunjukkan kemerosotan kira-kira 2,800% berbanding keuntungan bersih sebanyak RM0.4 juta yang pernah dicatatkan kumpulan itu pada suku yang sama tahun kewangan sebelumnya.
Menurutnya dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kerugian besar berkenaan sebahagian besarnya berpunca daripada perubahan nilai saksama ke atas sekuriti pelaburan yang berjumlah RM4.3 juta.
"Ketidaktentuan perkembangan nilai saksama ini dipacu oleh faktor turun naik pasaran yang ekstrem susulan ketegangan geopolitik yang semakin berpanjangan di rantau Timur Tengah," jelas DutaLand.
Syarikat tersebut katanya, masih mencatatkan hasil bagi 3QFY26 iaitu sebanyak RM100.9 juta, namun masih menyaksikan penurunan daripada RM125.7 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya (3QFY25).
Kejatuhan ini disebabkan oleh sumbangan yang lebih rendah daripada bahagian perdagangan komoditi, manakala bagi tempoh terkumpul sembilan bulan (9MFY26), hasil syarikat naik kepada RM381.5 juta.
Situasi itu lebih baik berbanding RM332.5 juta pada tempoh yang sama tahun lalu, dan walaupun ada kerugian sebelum cukai pada 3QFY26, prestasi bagi sembilan bulan menunjukkan penambahbaikan.
"DutaLand masih berjaya mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) mencecah sebanyak RM2.7 juta, berbanding kerugian sebelum cukai (LBT) kira-kira RM2.3 juta pada tahun sebelumnya," tambahnya.
Penambahbaikan bagi 9MFY26 itu ujarnya, didorong oleh sumbangan yang lebih kuat daripada bahagian pembangunan hartanah iaitu sebanyak RM7.6 juta, dan bahagian perladangan pula adalah RM1.6 juta.
Bagaimanapun, keuntungan kumpulan itu diimbangi oleh kerugian pertukaran mata wang asing (forex) sebanyak RM7.8 juta akibat penyusutan nilai dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding ringgit.
Melangkah ke hadapan, ia mengekalkan pandangan berhati-hati bagi baki tahun kewangan 2026, dengan terus memberi tumpuan kepada perniagaan teras pembangunan hartanah melalui penyiapan projek.
"Antaranya seperti Oakland Fasa 4G, di samping pengurusan risiko yang lebih ketat dalam aktiviti pelaburan bagi mendepani pelbagai ketidaktentuan pasaran global," kata DutaLand. - DagangNews.com
Kerugian bersih DutaLand naik kepada RM10.2 juta bagi 3QFY26 akibat ketidaktentuan pelaburan

Oleh AMREE AHMAD







