Kerugian akibat kadar tukaran asing beri kesan jualan produk DXN di luar negara - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerugian akibat kadar tukaran asing beri kesan jualan produk DXN di luar negara - Maybank IB

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 11 Ogos — Potensi jualan DXN Holdings Berhad dibimbangi terjejas disebabkan isu kerugian nilai akibat kadar tukaran asing (forex), menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).

 

Firma penyelidikan tersebut berkata, masalah itu dapat dilihat daripada taklimat kedudukan suku pertama tahun kewangan 2026 kumpulan pengedaran produk pengguna model jualan langsung berkenaan.

 

Katanya, pihak pengurusan berkongsi bahawa pasaran 10 negara teratasnya melaporkan pertumbuhan jualan positif tahun ke tahun (YoY) dalam mata wang masing-masing, kecuali Filipina dan Malaysia.

 

"Negara jiran itu susut tiga peratus YoY dan Malaysia merosot satu peratus YoY, namun jika dari segi nilai ringgit, hasil kumpulan dilihat ada meningkat sedikit," kata Maybank IB dalam notanya.

 

Situasi itu tambah firma berkenaan, disebabkan pergerakan forex tidak menggalakkan terutama di Bolivia dan Mexico kerana DXN menggunakan dolar Amerika Syarikat (AS) dalam kebanyakan pasaran.

 

Justeru katanya, kumpulan tersebut perlu mengurangkan risiko kerugian mata wang asing antaranya dengan menambat harga jualan purata (ASP) kesemua produknya kepada dolar AS pada setiap bulan.

 

Maybank IB berkata, usaha itu telah dilaksanakan di pasaran terpilih dengan tahap inflasi yang lebih tinggi iaitu Argentina, Nigeria dan Mesir, namun rancangan berkenaan wajar diperluaskan.

 

"Kami tertarik kerana DXN berhasrat mengembangkan ASP dalam dolar AS ke Bolivia yang merekodkan jualan tertinggi sebanyak 10 peratus pada tempoh 1QFY26 untuk meminimumkan kerugian," katanya.

 

Perancangan itu juga kata firma berkenaan, bakal dilaksanakan di pelbagai negara lain pada masa hadapan selain usaha pengawalan kos bahan mentah utama kumpulan iaitu kopi untuk pasaran utama.

 

Langkah itu kata Maybank IB, sedang diusahakan DXN di Peru, Bolivia dan Mexico untuk memastikan produk keluarannya bersaing dengan permintaan yang semakin meningkat di negara-negara tersebut.

 

"Secara keseluruhan, risiko jualan berterusan daripada kerugian forex perlu diutamakan kerana 97 peratus jualan kumpulan itu di luar Malaysia dan wajar bagi mengimbangi jualan rendah," katanya.

 

Berdasarkan perkembangan semasa pada 1QFY26 itu, firma tersebut mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran pula diturunkan kepada 69 sen sesaham.  - DagangNews.com