Kerjaya Prospek terima kontrak RM51 juta daripada Persada Menteri bagi projek Bandar Tanjung Pinang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerjaya Prospek terima kontrak RM51 juta daripada Persada Menteri bagi projek Bandar Tanjung Pinang

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 10 Mac — Kerjaya Prospek Group Berhad menerima kontrak daripada Persada Mentari Sdn Bhd (PMSB) bernilai RM51 juta bagi pelaksanaan dan penyiapan cerucuk serta kerja tanah untuk servis apartmen di Bandar Tanjung Pinang, Pulau Pinang.
 

Kumpulan itu berkata, projek tersebut akan dilaksanakan oleh anak syarikatnya, Kerjaya Prospek (Malaysia) Sdn Bhd (KPM).
 

"Kontrak RM51.03 juta itu meliputi sistem cerucuk asas dan penutup cerucuk, pembinaan ruang bawah tanah dan dua tingkat tanah bawah serta semua kerja tapak yang berkaitan di Pulau Andaman, Daerah Timur Laut," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
 

Kerjaya Prospek juga akan melaksanakan dan menyiapkan kerja tanah untuk cadangan dua blok bangunan pangsapuri perkhidmatan setinggi 52 tingkat dengan satu aras bawah tanah dan dua aras bawah tanah di Lot 854, Seksyen 2 dalam bandar berkenaan.
 

Kerja-kerja tersebut tambah kenyataan itu lagi, hendaklah bermula pada 1 April 2025 dan akan disiapkan dalam tempoh kira-kira 12 bulan dengan penerimaan kontrak berkenaan adalah berdasarkan urus niaga biasa kumpulan yang dilaksanakan atas dasar syarat komersial biasa.
 

"Selain itu, kontrak ini dijangka dapat menyediakan aliran pendapatan tambahan untuk kumpulan syarikat tersebut dalam tempoh setahun akan datang serta meningkatkan serta menambah baik buku pesanan sedia ada Kerjaya Prospek sendiri," kata kenyataan itu.
 

Bagaimanapun, kontrak terbaharu ini tidak akan memberi kesan ke atas modal saham terbitan syarikat tetapi ia dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham kumpulan bagi tahun kewangan yang berakhir 2025 hingga 2026. - DagangNews.com