Kerjaya Prospek raih kontrak RM350.62 juta bina apartmen servis 44 dan 37 tingkat di Batu Kawan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerjaya Prospek raih kontrak RM350.62 juta bina apartmen servis 44 dan 37 tingkat di Batu Kawan

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 26 NovKerjaya Prospek Group Bhd meraih kontrak pembinaan bernilai RM350.62 juta bagi projek pembangunan di Batu Kawan, Pulau Pinang.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata anak syarikat milik penuhnya, Kerjaya Prospek (M) Sdn Bhd (KPM) telah menerima surat anugerah daripada Pixel Valley Bhd bagi kerja-kerja pembinaan projek berkenaan.

 

Pixel Valley ialah anak syarikat milik penuh Kerjaya Prospek Property Bhd, yang mana beberapa pengarah dan pemegang saham utama kumpulan mempunyai kepentingan secara langsung dan tidak langsung, menjadikan projek itu sebagai transaksi pihak berkaitan.

 

Menurut Kerjaya Prospek, penerimaan kontrak tersebut dibuat dalam urusan perniagaan biasa KPM dan dilaksanakan berdasarkan terma komersial biasa secara arm’s length, serta tidak lebih menguntungkan berbanding terma yang ditawarkan kepada pihak awam.

 

Kontrak itu melibatkan pembangunan sebuah blok apartmen servis setinggi 44 tingkat dan sebuah lagi blok setinggi 37 tingkat, dengan jumlah keseluruhan 1,406 unit.

 

Skop kerja juga merangkumi pembinaan satu aras kemudahan dan fasiliti, podium tempat letak kenderaan setinggi lapan tingkat, 15 unit kedai dan pejabat dua tingkat, sebuah pencawang Tenaga Nasional serta pondok pengawal.

 

Projek tersebut dijadualkan bermula pada 2 Mac 2026 dan akan disiapkan dalam tempoh 42 bulan, yang dijangka menyumbang secara progresif kepada pendapatan dan keuntungan kumpulan sepanjang tempoh pembinaan.

 

Anugerah kontrak bernilai RM350.62 juta itu dilihat memperkukuh keterlihatan pendapatan Kerjaya Prospek dalam segmen pembinaan, khususnya di Pulau Pinang yang kekal sebagai antara lokasi pembangunan hartanah paling aktif di negara ini. - DagangNews.com