KUALA LUMPUR 30 Okt – RHB Research menjangka Kerjaya Prospek Group Berhad mencapai sasaran kontrak baharu keseluruhan dengan jumlah mencecah RM1.6 bilion bagi tahun kewangan 2025.
Firma penyelidikan tersebut berkata, keyakinan berkenaan disokong dengan perkembangan momentum banyak kerja pembinaan kukuh dan potensi pelbagai projek baharu yang mampu diperoleh syarikat.
Seiring itu, ia menaikkan harga sasaran sesaham kepada RM3.15, daripada RM2.92 sebelumnya, dengan saranan kekal 'beli' dan potensi peningkatan 15% serta pengagihan hasil dividen sekitar 4%.
"Unjuran positif ini disandarkan kepada aliran kerja stabil daripada projek Pulau Andaman di Pulau Pinang serta pemilikan tanah strategik melebihi 16 hektar," kata RHB Research dalam notanya.
Kesemua pegangan tanah berkenaan jelas firma tersebut, yang masing-masing terletak di Lembah Klang dan Pulau Pinang mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) tinggi sekurang-kurangnya RM5 bilion.
Pemangkin utama termasuk potensi anugerah projek baharu di Johor, di samping peluang kontrak industri melalui usaha sama dengan Samsung Construction & Trading Corp (SCT) dari Korea Selatan.
Sementara itu, pasaran hartanah Pulau Pinang dijangka terus rancak dengan jumlah kediaman tidak terjual berkurang kepada 2,500 unit pada separuh pertama 2025, berbanding 5,500 unit pada 2021.
"Projek The Meg dan Arica oleh Eastern & Oriental Bhd (E&O) di Pulau Andaman mencatat kadar jualan cemerlang, memberi petunjuk kepada kesinambungan projek di pulau buatan tersebut," kata firma itu.
Tambah RHB Research, Kerjaya Prospek memenangi kontrak RM1.2 bilion bagi kerja kediaman dan RM1.8 bilion bagi kerja infrastruktur di Andaman, manakala E&O merancang projek bernilai RM3.8 bilion.
Kata firma berkenaan, ia bakal dilancarkan antara 2026 hingga 2030, yang dijangka mampu menyumbang nilai pembinaan sekitar RM1.5 bilion kepada kumpulan tersebut dalam tempoh jangka panjang.
Selain itu, usaha sama (JV) dengan SCT bakal mengukuh kedudukan sektor pembinaan industri, selepas projek kilang Texas Instruments di Melaka bernilai RM1.5 bilion pada 2022, dengan pegangan 30%.
"Kerjaya Prospek kini membida tender RM3 bilion melibatkan pusat data, kilang dan gudang melalui JV itu kerana SCT ada rekod kukuh projek Menara Berkembar Petronas dan Merdeka 118," katanya.
SCT juga jelas RHB Research, berpengalaman membina pusat data berskala besar di Korea Selatan untuk Samsung Electronics di samping meneroka semula peluang kontrak baharu di pasaran Johor.
Kemenangan tender projek Majestic Gen bernilai RM162 juta di Bukit Chagar pada Mei 2025 menandakan kemasukan semula Kerjaya Prospek ke negeri tersebut yang semakin pesat dengan banyak kerja.
Sebelum ini kata firma penyelidikan itu, syarikat berkenaan pernah memperoleh RM1.3 bilion kontrak di Johor daripada pelbagai pelanggan utama seperti SP Setia Berhad, E&O dan Teguh Harian Group.
"Kami mengekalkan unjuran pendapatan tetapi menaikkan nisbah harga kepada pendapatan bagi segmen pembinaan kepada 18.5 kali daripada 17 kali sejajar dengan prospek positif," kata RHB Research.
Bagaimanapun, ia memberi amaran antara risiko utama syarikat tersebut ialah kelembapan pasaran hartanah domestik dan tekanan kos berterusan yang boleh menjejaskan margin keuntungan kumpulan.
Secara keseluruhan, dengan permintaan hartanah kukuh di Pulau Pinang, Lembah Klang dan Johor serta potensi kontrak industri baharu, asas pertumbuhan Kerjaya Prospek kekal kukuh. - DagangNews.com








