KUALA LUMPUR 16 Dis – Kerjaya Prospek Group Berhad berjaya mencapai sasaran perolehan kerja FY25 sebanyak RM1.8 bilion, disokong oleh kemenangan kontrak pembinaan bangunan kedua di Johor.
Menurut TA Securities, tender terbaharu apartmen servis yang bernilai RM225 juta bagi Fasa 2 projek Gen Sphere itu diperoleh melalui anak syarikat milik penuhnya, Kerjaya Prospek (M) Sdn Bhd baru-baru ini.
Kontrak ini jelasnya, melibatkan pembinaan sejumlah 997 unit kediaman, ruang komersial, parkir bertingkat dan kemudahan rekreasi, melengkapkan Fasa 1 bernilai RM162 juta yang dianugerahkan pada Mei 2025.
"Kontrak kedua itu dijadualkan berlangsung 38 bulan, bermula 16 Januari 2026 dan kami menilai tender ini, menjadikan jumlah buku tempahan tertunggak turut naik," kata firma berkenaan dalam notanya.
Kemenangan projek itu jelas TA Securities, menyaksikan lonjakan kepada RM4.3 bilion, atau 2.5 kali hasil pembinaan pada FY24, menyediakan keterlihatan pendapatan jangka pendek yang lebih kukuh.
Dengan anggaran margin bersih konservatif 10%, kontrak ini dijangka menyumbang sebanyak RM22.5 juta kepada keuntungan bersih Kerjaya Prospek sepanjang tempoh pembinaan selama lebih tiga tahun.
Firma penyelidikan itu turut menegaskan, ia adalah kemenangan kedua kumpulan itu di Johor bagi FY25, menekankan kehadiran kumpulan yang semakin kukuh di pasaran hartanah yang lebih mantap.
"Kumpulan dijangka terus mengejar peluang kontrak di Johor, disokong permintaan berterusan projek kediaman berketumpatan tinggi dan aktiviti tender yang sihat di negeri itu," kata TA Securities.
Buku tender Kerjaya Prospek adalah kekal kukuh, termasuk lebih RM1.0 bilion daripada Eastern & Oriental serta Kerjaya Prospek Property, manakala buku tender luaran pula sudah melebihi RM3.0 bilion.
Ia jelasnya, merangkumi projek kediaman mencecah RM2.0 bilion, dua tender pusat data, dan beberapa peluang hartanah industri melalui kerjasama dengan Samsung C&T yang bernilai RM3.0 bilion.
Justeru, TA Securities mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham Kerjaya Prospek dengan harga sasaran tidak berubah iaitu RM3.39, berdasarkan unjuran 17 kali pendapatan sesaham pada 2026.
"Kami yakin keterlihatan pendapatan kukuh, pengisian buku tempahan konsisten, dan potensi pertumbuhan pembinaan hartanah industri melalui kerjasama strategik dengan Samsung," katanya. - DagangNews.com








