KUALA LUMPUR 6 Mei – Batik Air dan MARA Corporation Sdn Bhd menjalin kerjasama strategik bagi memperkukuh industri penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat (MRO) di Malaysia serta melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir dalam sektor penerbangan.
Menerusi kerjasama ini, Batik Air merancang untuk menilai pembangunan operasi penyelenggaraan pesawat di hangar Subang dengan menggunakan kemudahan sedia ada bagi meningkatkan kecekapan operasi dan keupayaan teknikal syarikat.
Selain itu, kedua-dua pihak turut akan menilai potensi penstrukturan semula Asia Aerotechnic Sdn. Bhd. (AAT) bagi memperkukuh lagi ekosistem MRO negara.
Fokus utama kerjasama ini turut melibatkan pembangunan bakat, khususnya dalam melahirkan jurutera dan juruteknik pesawat yang berkelayakan.
Batik Air merancang untuk mengambil sehingga 200 pelajar daripada Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dalam tempoh empat tahun bagi menyertai program lesen jurutera pesawat (CAAM Part 66).
Program ini akan melibatkan latihan di Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT) serta sokongan kewangan berperingkat sebelum pelajar memasuki pasaran kerja sebagai jurutera bertauliah.
Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy berkata kerjasama ini penting untuk memastikan industri penerbangan negara terus berkembang seiring dengan keperluan semasa.
“Pelaburan dalam pembangunan kemahiran teknikal dan pengembangan operasi penyelenggaraan pesawat akan membantu memperkukuh kedudukan Malaysia dalam sektor penerbangan serantau.
“Usaha melatih generasi baharu jurutera pesawat juga akan memastikan industri mempunyai bekalan tenaga kerja mahir yang mencukupi pada masa hadapan,” katanya.

Kerjasama itu dimeterai menerusi Surat Niat (LOI) yang ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MARA Corp, Datuk Amir Azhar Ibrahim.
Majlis tersebut diadakan bersempena Sambutan Ulang Tahun MARA ke-60 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) dan disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Turut hadir ialah Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, serta Ketua Pengarah MARA merangkap Pengerusi MARA Corporation, Datuk Zulfikri Osman selain pengasas Lion Air Group, Rusdi Kirana.
Sementara itu, Amir Azhar berkata kerjasama ini selari dengan usaha agensi tersebut dalam memperkukuh pembangunan industri berimpak tinggi dan berteknologi tinggi di Malaysia.
MARA Corp menyifatkan sektor MRO sebagai antara bidang strategik yang mampu menjana pertumbuhan ekonomi serta membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada anak muda.
Melalui kerjasama ini, kedua-dua pihak berharap Malaysia dapat diperkukuh sebagai hab MRO yang berdaya saing di peringkat Asia.
LOI yang ditandatangani ini juga membuka ruang kepada potensi kerjasama lebih luas termasuk penubuhan usaha sama, pengurusan sementara serta pembangunan infrastruktur berkaitan pada masa hadapan. - DagangNews.com







