Kerjasama Agmo, Verity Intelligence bantu majikan dapatkan maklumat calon pekerja dengan tepat dalam masa singkat | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerjasama Agmo, Verity Intelligence bantu majikan dapatkan maklumat calon pekerja dengan tepat dalam masa singkat

Kerjasama ini menjadikan proses pengambilan pekerja dilakukan dengan lebih cepat
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 30 April – Agmo Holdings Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, Agmo Studio Sdn Bhd, memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Verity Intelligence Sdn Bhd bagi meneroka kerjasama strategik dalam memperkukuh proses pengambilan pekerja dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

 

Kerjasama ini memberi tumpuan kepada integrasi teknologi kecerdasan buatan (AI) melalui platform SMEHero.ai yang dibangunkan Agmo Studio dengan sistem semakan latar belakang pekerjaan milik Verity Intelligence.

 

SMEHero.ai adalah platform digital yang direka untuk membantu PKS memperkemas operasi, meningkatkan produktiviti serta menyokong pertumbuhan perniagaan melalui penggunaan alat berasaskan AI.

 

Sementara itu, Verity Intelligence pula menyediakan perkhidmatan semakan latar belakang dan pengesahan maklumat calon pekerja merangkumi sejarah pekerjaan, pengesahan identiti serta semakan data penting lain bagi membantu majikan membuat keputusan pengambilan yang lebih tepat.

 

Melalui kerjasama ini, enjin semakan Verity akan disepadukan ke dalam SMEHero.ai bagi membolehkan semakan latar belakang pekerja dilakukan secara terus dan atas permintaan dengan akses kepada lebih 30 sumber data berbeza.

 

Integrasi ini dijangka memudahkan proses pengambilan pekerja dengan membolehkan majikan mendapatkan maklumat penting dalam tempoh yang lebih singkat serta mengurangkan risiko kesilapan dalam pengambilan tenaga kerja.

 

Agmo berkata semakan latar belakang awal calon pekerja berupaya disiapkan dalam tempoh beberapa minit sahaja yang membantu mempercepatkan proses pengambilan dan meningkatkan kecekapan operasi PKS.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Agmo Holdings Berhad, Tan Aik Keong berkata bagi kebanyakan PKS, keputusan pengambilan pekerja masih bergantung kepada resume dan sesi temu duga semata-mata tanpa sokongan data yang lebih menyeluruh.

 

“Apabila perniagaan berkembang, impak setiap keputusan pengambilan pekerja menjadi lebih besar dan akses kepada maklumat yang tepat pada masa yang sesuai amat penting dalam memastikan keputusan lebih baik dibuat.

 

“Melalui SMEHero.ai, Agmo menyasarkan untuk menjadikan teknologi gred perniagaan lebih mudah diakses oleh PKS dengan menggabungkan data berkaitan sumber manusia, kewangan dan pematuhan dalam satu platform bersepadu,” katanya.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Verity Intelligence, Mark Leow berkata kos akibat pengambilan pekerja yang tidak sesuai boleh memberi kesan besar bukan sahaja dari segi kewangan, tetapi juga operasi dan reputasi syarikat.

 

“Kerjasama dengan Agmo membolehkan keupayaan semakan data yang dipercayai diintegrasikan terus ke dalam aliran kerja PKS tanpa menambah kerumitan kepada proses sedia ada,” katanya.

 

Kerjasama ini juga dilihat mengukuhkan strategi Agmo untuk membangunkan SMEHero.ai sebagai ekosistem digital menyeluruh bagi PKS, selain berpotensi meningkatkan penglibatan pengguna dan mewujudkan peluang hasil berulang melalui penggunaan platform.

 

Agmo sebelum ini telah membangunkan lebih 300 rumusan digital merangkumi pelbagai industri termasuk kesihatan, logistik, minyak dan gas, kewangan serta sektor kerajaan dan kini memperluaskan fokus kepada pembangunan platform berasaskan AI. - DagangNews.com