KUALA LUMPUR 4 Mac - Kerajaan dicadang supaya menjual baki pesawat MiG-29N Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang tidak lagi digunakan kepada negara-negara berminat.
Saranan tersebut dibuat Datuk Seri Ikhmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) di Parlimen semalam dengan dua negara pembeli disebut iaitu India dan Sudan.
Memetik laporan laman media pertahanan Air Times News Network, cadangan itu bagi menangani isu kekurangan alat ganti pesawat Sukhoi Su-30MKM milik TUDM yang terkesan akibat perang Ukraine-Rusia.
Katanya, penjualan pesawat MiG-29N boleh dipertimbangkan sebagai sebahagian daripada agenda Mesyuarat Malaysia-India Defence Cooperation (MIDCOM) tahun ini.


Langkah ini menurutnya bekas Menteri Pertahanan semasa kerajaan lalu bukan sahaja dapat menjana pendapatan, malah membuka peluang trade-off alat ganti Sukhoi yang kini sukar diperoleh.
India dicadangkan kerana negara itu merupakan pengguna MiG-29 selain memiliki teknologi dan alat ganti yang diperlukan oleh TUDM untuk pesawat Sukhoi Su-30MKM.
Pada masa sama, Mohd Ikhmal juga mahu Kementerian Pertahanan (Mindef) menjelaskan tentang perancangan terhadap 7 pesawat latihan Aermacchi MB-339 yang telah digantung sejak 2018.
TUDM pada 1995 membeli 18 pesawat MiG-29N dari Rusia termasuk varian dua tempat duduk, bagaimana pun 2 pesawat terhempas dalam nahas udara.
Difahamkan baki pesawat MiG-29N yang ada berjumlah 14 buah setelah 2 dijadikan monumen iaitu di Kompleks Dataran Pahlawan, Putrajaya dan di Kem Al-Sultan Abdullah, Markas Angkatan Bersama, Kuantan, Pahang.


Terdapat beberapa buah dijadikan bahan pembelajaran berkaitan pesawat di universiti awam.
Walaupun telah berusia tetapi MiG-29 merupakan salah satu daripada 10 pesawat pejuang yang masih digunakan di seluruh dunia dengan kira-kira 800 dioperasikan.
Terdapat 23 negara yang menggunakan pesawat era Soviet ini dengan 5 negara utama ialah Rusia, India, Ukraine, Mesir dan Algeria.
India mempunyai 115 pesawat MiG-29 yang digunakan bermula 1987 manakala Sudan pula menggunakan pesawat ini sejak 2003.
Pada 2017, India telah menyatakan minat membeli MiG-29N TUDM untuk dinaik taraf bagi kegunaan tentera udaranya.


Cadangan tersebut adalah antara aspek kerjasama ketenteraan yang dipersetujui antara Malaysia dan India pada waktu itu.
Ketika itu Malaysia berura-ura untuk mendapatkan pesawat tempur baharu dan cadangan menjual MiG-29N dilihat keputusan yang baik.
Sebagai timbal balas, Malaysia akan menerima alat ganti untuk pesawat Sukhoi.
Malangnya, tiada susulan berhubung cadangan ini apabila kerajaan bertukar pada 2018.
Rusia pada 2019 turut menawarkan membeli semula MiG-29N TUDM bersama-sama pesawat Sukhoi SU-30MKM jika Malaysia sedia menggantikannya dengan pesawat baharu buatan negara itu.


Bagaimana pun jika Malaysia ingin mengekalkan khidmat MiG-29N, Rusia juga sedia memberikan sokongan teknikal bagi menaik taraf pesawat.
Rusia ketika itu bercadang menjual pesawat termoden Sukhoi SU-30SM dan MiG-35 kepada Malaysia
Cadangan untuk menjual pesawat MiG-29N bagi tujuan mendapatkan alat ganti atau lain-lain keperluan pertahanan adalah baik sekiranya ada negara berminat untuk membeli.
Ini kerana kerajaan masih mendapat untung berbanding membiarkan pesawat tersebut mereput dan akhirnya hanya menjadi tugu atau dijual sebagai besi buruk. - DagangNews.com







