Kerajaan teroka penswastaan dua projek lebuh raya baharu termasuk jajaran selatan WCE dari Banting-Gelang Patah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerajaan teroka penswastaan dua projek lebuh raya baharu termasuk jajaran selatan WCE dari Banting-Gelang Patah

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 10 April - Kerajaan bercadang meneroka pembinaan dua projek lebuh raya berskala besar menerusi model penswastaan sebagai usaha mengoptimumkan kos serta memperkukuh kecekapan fiskal negara.

 

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam satu kenyataan berkata, cadangan itu melibatkan pembinaan laluan selatan Lebuhraya Pantai Barat (WCE) sepanjang 303.5 kilometer dari Banting, Selangor ke Gelang Patah, Johor, serta projek jalan baharu sepanjang 118.7 kilometer yang menghubungkan Simpang Pelangai, Pahang ke Putrajaya.

 

Menurut kementerian itu, keputusan berkenaan dicapai dalam Mesyuarat ke-50 Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

 

 

 

 

 

 

“Mesyuarat bersetuju supaya projek infrastruktur dicadangkan ini diteroka di bawah model penswastaan bagi mengoptimumkan kos dan meningkatkan kecekapan fiskal.

 

“Perbincangan lanjut akan diadakan bersama kerajaan negeri terlibat bagi memperincikan kaedah pelaksanaan selain memastikan manfaat ekonomi maksimum kepada komuniti setempat,” kata kenyataan itu semalam.

 

Kedua-dua projek tersebut dilihat sebagai pelengkap kepada rangkaian lebuh raya sedia ada, khususnya dalam menangani kesesakan trafik yang semakin kritikal di Lebuhraya Utara-Selatan (E2) dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (E8).

 

Terdahulu, jajaran Banting ke Gelang Patah diumumkan dalam Belanjawan 2025 sebagai projek sepanjang kira-kira 230 kilometer yang dicadang dilaksanakan melalui model kerjasama awam-swasta (PPP).

 

Ketika ini, jajaran sedia ada WCE sepanjang 233 kilometer dari Banting ke Taiping, Perak dibangunkan oleh WCE Holdings Bhd, dengan pegangan 28% oleh IJM Corporation Bhd, yang juga merupakan antara pemain utama dalam sektor pembinaan dan konsesi lebuh raya.

 

 

 

 

 

 

Sumber industri memaklumkan bahawa pelaksanaan melalui penswastaan sepenuhnya bermakna projek baharu itu berkemungkinan tidak melibatkan sebarang pembiayaan langsung kerajaan, berbeza dengan pembangunan WCE sedia ada yang menerima pinjaman mudah RM2.24 bilion serta sokongan kos pengambilan tanah sehingga RM980 juta.

 

Sementara itu, cadangan jalan Simpang Pelangai ke Putrajaya yang diumumkan pada 2024 kini masih di peringkat kajian kebolehlaksanaan di bawah Kementerian Kerja Raya, dengan pelantikan kontraktor masih belum dimuktamadkan. - DagangNews.com