Kerajaan Perak sedia geran RM1.5 juta suntik usahawan PMKS | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerajaan Perak sedia geran RM1.5 juta suntik usahawan PMKS

Usahawan PMKS Perak boleh memohon bantuan GeRAk bagi menyuntik perniagaan mereka.
Oleh Zaki Salleh

IPOH 26 Mac - Sebanyak RM1.5 juta bantuan disediakan kerajaan Perak bagi menyuntik usahawan kecil dan sederhana (PMKS) tahun ini menerusi Geran Usahawan Perak Sejahtera (GeRAK).

 

Inisiatif ini dapat memberi manfaat kepada 750 usahawan PMKS pelbagai bidang seperti pembuatan atau perkhidmatan.

 

Jumlah peruntukan geran tersebut juga meningkat berbanding hampir RM1 juta tahun lalu dengan 713 penerima.

 

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, GeRAK menawarkan geran bernilai RM2,000 bagi setiap penerima.

 

Perak
Salbiah (empat dari kiri) bersama Pengarah STeP, Mohamad Rozlan Mohamad Razalli (kanan) semasa melancarkan geran GeRAK di Ipoh.

 

Katanya, pemohon mestilah mempunyai perniagaan sah di bawah Suruhanjaya Syarikat (SSM), beroperasi di Perak, mempunyai pendapatan tahunan 2024 tidak melebihi RM150,000 dan berdaftar dengan Sistem Maklumat Usahawan Perak.

 

“Bantuan geran ini berbentuk peralatan dan mesin termasuk mengikuti kursus, latihan serta membantu peningkatan pemasaran dan penjenamaan.

 

“Ini merupakan bantuan sekali beri sebagai usaha kerajaan negeri meningkatkan keupayaan dan produktiviti perniagaan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

 

Usahawan yang layak boleh membuat permohonan bermula 7 April hingga 31 Mei.

 

Maklumat lanjut mengenai bantuan GeRAK ini boleh diperoleh menerusi laman Facebook Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP).

 

Perak

 

Perak

 

Sementara itu, STeP turut mempelawa PMKS Perak menyertai pelbagai pameran perdagangan dalam dan luar negara bagi meluaskan pasaran.

 

Inisiatif STeP ini di bawah Program Perluasan Pasaran Produk, Perkhidmatan dan Eksport PMKS 2025.

 

Melalui program ini usahawan Perak terpilih akan dibawa menyertai pelbagai pameran perdagangan dan jualan ke negara seperti Singapura, New Zealand, China dan Brunei.

 

Tidak ketinggalan pameran perdagangan dan ekspo jualan seperti Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) 2025 dan Selangor International Business Summit (SIBS).

 

Pemohon adalah terbuka kepada warga Malaysia dan perniagaan beroperasi yang didaftarkan di negeri Perak sahaja.

 

Keutamaan kepada usahawan dan syarikat berstatus sendirian berhad, namun syarikat berstatus enterprise amat digalakkan.

 

Usahawan Perak yang berminat boleh mengisi permohonan menerusi https://step.perak.my/sme  atau berhubung terus kepada urusetia STeP di talian 012-4618792. - DagangNews.com