Kerajaan pastikan industri solar Malaysia kekal berdaya saing - Nik Nazmi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerajaan pastikan industri solar Malaysia kekal berdaya saing - Nik Nazmi

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 23 April - Kerajaan bersedia memastikan industri solar Malaysia kekal berdaya saing susulan langkah Amerika Syarikat (AS) mengenakan duti ke atas import produk solar dari Asia Tenggara, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.


Beliau namun berkata, isu berkenaan secara am terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) yang sudah pun bertindak melancarkan siasatan sejurus pengumuman mengenai tarif berkenaan oleh Jabatan Perdagangan AS semalam.

 

Malaysia kata beliau, memang terkenal sebagai salah satu daripada pengeluar produk solar utama antarabangsa dengan mempunyai ramai pelabur dari pelbagai negara, termasuk AS sendiri selain China yang terlibat dalam industri tersebut sejak beberapa tahun.


"Kami percaya MITI akan membentangkan kes terbaik dalam perbincangan perdagangan untuk memastikan industri solar Malaysia terus berdaya saing," katanya pada majlis pelancaran rasmi panel solar bersempena dengan Hari Bumi Sedunia 2025 di IKEA Damansara.


Kerajaan AS mencadangkan untuk bertindak mengenakan duti antilambakan serta timbal balas yang tinggi ke atas sel solar dan modul yang diimport dari Malaysia, Vietnam, Thailand dan Kemboja, berikutan aduan mengenai isu amalan perdagangan tidak adil.


Malaysia dikenakan duti sebanyak 8.59 peratus, iaitu yang paling rendah antara empat negara tersebut namun beberapa firma Malaysia yang didapati tidak memberikan kerjasama dalam siasatan Jabatan Perdagangan AS menghadapi tarif berkenaan sehingga 81.24 peratus.


Mengulas lanjut, Nik Nazmi mengakui, kesan daripada kenaikan kos akibat pelaksanaan tarif tersebut boleh menimbulkan cabaran besar kepada proses peralihan kemampanan tenaga negara.


"Kita tidak mahu duti ini nanti menghentikan perkembangan kemajuan dalam aspek tenaga boleh diperbaharui di Malaysia. Jika kos meningkat secara ketara, ia akan menjejaskan ekonomi kita dan menjadikan fasa peralihan itu sendiri sebagai kurang berdaya maju," katanya.


Sementara itu, Jabatan Perdagangan AS berkata, tindakan negara tersebut adalah antara contoh pertama apabila syarikat-syarikat tertentu didapati telah menerima sejumlah 'subsidi rentas negara' dari China semasa beroperasi di Asia Tenggara.


Malaysia mengeksport produk solar bernilai kira-kira AS$1.9 bilion (RM8.3 bilion) ke AS pada 2023 namun pelaksanaan akhir duti tersebut bergantung kepada penentuan Suruhanjaya Perdagangan Antarabangsa AS, yang dijangka dimuktamadkan 2 Jun 2025. - DagangNews.com