Kerajaan naikkan syarat kemasukan kenderaan elektrik (EV) import, harga bermula RM200,000 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerajaan naikkan syarat kemasukan kenderaan elektrik (EV) import, harga bermula RM200,000

Foto kredit AFP
Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 6 Mei – Kerajaan menetapkan peraturan baharu untuk semua kenderaan elektrik (EV) yang diimport sepenuhnya dan akan berkuat kuasa di Malaysia bermula 1 Julai 2026.


Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam kenyataan berkata, nilai minimum kenderaan itu lebih tinggi serta syarat prestasi dikemas kini bagi semua unit yang dibawa masuk.


Ujarnya, kesemua model EV yang siap dipasang sepenuhnya (CBU) perlu memenuhi dua syarat utama, antaranya nilai minimum kos, insurans dan pengangkutan (CIF) ditetapkan sebanyak RM200,000.


Selain itu, kuasa motor minimum kenderaan tersebut ditetapkan 180 kilowatt (kW), dengan syarat berkenaan sebenarnya lebih rendah berbanding had sebelum ini iaitu 200 kW.


Menurut MITI, rangka kerja baharu ini diperkenalkan selepas tamat tempoh pengecualian khas selama empat tahun di bawah skim permit import francais (AP), pada 31 Disember 2025.
 

Perubahan itu akan memberi kesan besar apabila harga runcit berpotensi naik sekurang-kurangnya RM300,000, dan menyebabkan banyak model pertengahan tidak lagi dijual daripada pasaran Malaysia.


"Peraturan baharu ini akan menggantikan syarat terdahulu iaitu harga jualan minimum RM250,000 dan output kuasa 200 kW," kata penganalisis dipetik daripada portal berbahasa Inggeris, New Straits Times.


Bagi syarikat yang masih ada baki sedia ada, MITI membenarkan EV itu dijual mengikut ketetapan harga dalam tempoh pengecualian khas sebelum dasar lama tamat 31 Disember 2025, sehingga stok habis.


Walaupun ambang harga baharu dilihat lebih rendah, pakar industri menjelaskan bahawa penggunaan nilai CIF iaitu kos sebelum cukai, duti dan margin pengedar, sebenarnya meningkatkan harga keseluruhan EV.


Berdasarkan anggaran, kenderaan dengan CIF RM200,000 akan dikenakan sekurang-kurangnya 5% duti import, 10% duti eksais dan 10% cukai jualan, menjadikan kos kepada pengedar sekitar RM250,000.

 

kenderaan elektrik_DagangNews


Sehubungan itu ujarnya, apabila ditambah pula margin untuk pengeluar dan pengedar sekitar 20%, harga runcit yang disyorkan di pasaran negara ini boleh mencecah sekurang-kurangnya RM300,000.


Langkah perubahan peraturan ini dijangka mengecilkan segmen EV import kepada model CBU premium sahaja, sekali gus mengehadkan pilihan kepada pengguna dalam memilih kategori harga sederhana.


Malah tambahnya, struktur baharu berkenaan turut mengekalkan syarat tambahan yang pernah diumumkan oleh pihak MITI sebelum ini termasuk harga lantai minimum iaitu bermula daripada RM100,000.


Penganalisis tersebut turut melihat kemungkinan wujud ruang manipulasi nilai CIF oleh pengimport tertentu, walaupun langkah itu akan meningkatkan jumlah cukai yang perlu dibayar kepada kerajaan.


Sekiranya terdapat model EV CBU yang masih ditawarkan di bawah paras RM300,000 selepas pelaksanaan peraturan baharu ini, ia berkemungkinan menunjukkan pengedar menyerap sebahagian kos tambahan.


Secara keseluruhan, langkah terbaharu ini dilihat sebagai usaha kerajaan untuk berusaha menstruktur semula pasaran EV tempatan ke arah segmen bernilai tinggi. - DagangNews.com