Kerajaan lulus pembelian meriam SPH, tamatkan penantian lebih 20 tahun Tentera Darat miliki sistem artileri moden | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerajaan lulus pembelian meriam SPH, tamatkan penantian lebih 20 tahun Tentera Darat miliki sistem artileri moden

Sistem SPH Caesar buatan Perancis merupakan model yang teruji di medan perang.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 28 Nov – Kerajaan telah meluluskan rancangan pembelian sistem meriam mudah gerak (SPH) 155mm bagi memperkukuh keupayaan tempur Tentera Darat Malaysia (TDM).

 

Keputusan ini dianggap sebagai langkah strategik yang penting dalam usaha memastikan kesiapsiagaan ATM selari dengan keperluan semasa medan peperangan moden.

 

Perkara tersebut diumumkan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Adly Zahari semasa perbahasan di Parlimen kelmarin.

 

Katanya, TDM telah menerima kelulusan perolehan daripada Bahagian Perolehan pada 17 November.

 

Meriam
Daya mobiliti merupakan kelebihan sistem SPH.

 

Meriam

 

Pengumuman ini sekali gus menamatkan penantian lebih 20 tahun terhadap aset artileri moden itu.

 

Perolehan kini berada pada peringkat pelaksanaan, khususnya dalam proses rundingan harga, sebelum dikemukakan semula kepada Kementerian Kewangan. 

 

Menurut beliau, peruntukan yang diluluskan itu adalah bagi pembelian pertama, bagaimana pun jumlah dan jenis sistem SPH yang menjadi pilihan akan diumumkan kemudian.

 

 

 

 

 

 

 

Hasil penilaian telah dibentangkan kepada Lembaga Perolehan dan dikemukakan kepada Kementerian Kewangan untuk kelulusan. 

 

Perolehan SPH ini dijangka dimuktamadkan pada tahun hadapan selepas proses akhir rundingan dilakukan dengan pengeluar terpilih.

 

Meriam
Yavuz buatan Türkiye.

 

Meriam

 

Beberapa syarikat dalam negara dijangka terlibat dalam aspek penyelenggaraan, integrasi sistem dan latihan kru.

 

Difahamkan, sepanjang proses pemilihan TDM telah menguji 6 model SPH sebelum memilih model yang paling sesuai.

 

Berdasarkan ciri-ciri yang diperlukan TDM, sistem SPH yang cenderung dikehendaki adalah jenis yang tidak terlalu berat, sesuai untuk dioperasikan mengikut rupa bentuk setempat dan mudah melalui rangkaian jalan sedia ada.

 

Satu lagi ciri utama adalah sistem SPH tersebut boleh dibawa menggunakan aset kapal terbang pengangkut TUDM.

 

Ini untuk memudahkan operasi hantaran udara sekiranya aset tersebut perlu dipindah atau diterbangkan ke lokasi operasi dengan segera.

 

Meriam
SPH EVA.

 

Antara calon SPH yang disebut-sebut mengintai peluang ini seperti Yavuz dari Turkiye, EVA (Slovakia), Caesar (Perancis) dan SH-15 (China).

 

Berbanding model lain, Caesar merupakan model SPH beroda paling berjaya dalam industri.

 

SPH Caesar merupakan sebuah sistem persenjataan yang telah teruji di medan perang serta digunakan tentera enam negara termasuk Thailand dan Indonesia.

 

Perancis juga merupakan antara negara terawal yang menawarkan sistem SPH kepada ATM iaitu pada tahun 1998.

 

Bagi model SH-15 pula, ia merupakan sistem SPH paling murah di pasaran dan menjadi pilihan angkatan tentera yang mempunyai peruntukan terhadap.

 

Sistem SPH 155mm terkenal dengan daya mobiliti tinggi dan keupayaan memberikan tembakan tepat pada jarak jauh. 

 

Meriam
SPH jenis SH-15 buatan China.

 

Ia mampu melepaskan tembakan sehingga 40 kilometer, dan jarak ini boleh ditingkatkan lagi melalui penggunaan peluru pintar.

 

Ini membolehkan serangan lebih tepat ke atas sasaran bernilai tinggi.

 

 

 

 

 

 

Peralihan kepada sistem SPH juga bakal meningkatkan keupayaan TDM dalam operasi respons pantas kerana platform ini mampu bergerak sendiri tanpa memerlukan kenderaan tunda seperti meriam konvensional. 

 

Hal ini bukan sahaja mempercepat masa tindak balas artileri, malah mengurangkan kebergantungan terhadap sokongan logistik tambahan.

 

Meriam

 

Dengan kemampuan bergerak pantas dan tembakan jarak jauh, SPH dilihat sebagai aset ideal bagi mengimbangi sebarang ancaman konvensional mahupun bukan konvensional.

 

Selain itu, perolehan ini turut dijangka membuka ruang kerjasama industri pertahanan tempatan melalui program offset dan latihan, sekali gus memperkukuh ekosistem pertahanan negara dalam jangka panjang. - DagangNews.com