KUALA LUMPUR 22 Okt - Kerajaan menggariskan empat strategi utama bagi melonjakkan ekonomi Sabah ke tahap lebih tinggi termasuk menyediakan peruntukan pembangunan RM6.9 bilion pada tahun 2025 bagi menaik taraf infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan elektrik dan air bersih.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata, antara projek utama yang dilaksanakan termasuk naik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan Lapangan Terbang Tawau, serta Pelabuhan Kontena Teluk Sapanggar yang dijangka siap menjelang 2027, meningkatkan kapasiti pelabuhan daripada 500,000 TEU kepada 1.25 juta TEU.
Beliau berkata, dana tambahan juga disalurkan kepada taman-taman perindustrian utama seperti KKIP, POIC Lahad Datu, SOGIP Sipitang, dan Kawasan Perindustrian Kg. Patikang bagi menyokong pertumbuhan industri tempatan.
"Sabah mempunyai potensi besar dalam sektor tenaga boleh diperbaharui (RE) dan kerajaan kini giat menarik pelaburan dalam projek hidroelektrik, solar, angin dan sistem bateri bagi memenuhi permintaan tenaga serta memperkukuh pembangunan ekonomi hijau di negeri itu.
"Ia juga dikenali sebagai negeri paling "hijau" di Malaysia kerana tidak menggunakan arang batu sebagai sumber tenaga dan bagi menggalakkan pelaburan dalam sektor hijau, Galakan Cukai Teknologi Hijau (GCTH) dilanjutkan sehingga 31 Disember 2026, dengan sistem tiering yang memberi kelebihan kepada pelabur yang menyumbang kepada kemampanan jangka panjang," katanya dalam semasa sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Riduan Rubin (Bebas -Tenom) mengenai potensi Sabah sebagai destinasi utama pelaburan asing dan domestik
Bagi tempoh Januari hingga Jun 2025, jumlah pelaburan yang diluluskan dalam pelbagai sektor ekonomi di Sabah adalah bernilai RM11.37 bilion, merangkumi sektor perkilangan, sektor perkhidmatan dan sektor utama.
Pelaburan itu melibatkan 82 projek, dan dijangka akan menjana sejumlah 1,945 peluang pekerjaan baharu. Pelaburan terbesar bagi tempoh ini adalah dalam sektor produk logam asas yang menyumbang melebihi separuh daripada keseluruhan pelaburan yang diluluskan.
Chin Tong berkata, sebagai pengeluar minyak sawit mentah terbesar di Malaysia, Sabah juga berpotensi besar dalam pembangunan industri hiliran biojisim, termasuk penjanaan tenaga boleh baharu, pengeluaran naham api bio, baja, pelet, dan produk biokimia.
Beliau berkata, selain itu, strategi hiliran turut diperluas kepada industri pertanian dan marin, yang menjadi antara kekuatan ekonomi tradisional Sabah.
Katanya, pelaksanaan strategi ini disokong oleh pelbagai agensi seperti MIDA, Invest Sabah Berhad (ISB), SEDIA, dan SDC, yang bekerjasama menarik pelaburan berkualiti tinggi ke negeri itu.
Dalam masa sama, beliau berkata pelaksanaan Kerangka Insentif Pelaburan Baharu (NIIF) juga akan memberi tumpuan kepada aktiviti bernilai tambah tinggi serta mengurangkan jurang pembangunan antara wilayah, termasuk memberi keutamaan kepada pelaburan di Sabah dan Sarawak.
"Kerjasama erat ini bukan sekadar soal pelaburan, tetapi juga mencipta pekerjaan berkualiti, memindahkan kemahiran baharu dan membina keupayaan industri tempatan.
"Dalam hal ini, kerjasama erat dengan Kerajaan Sabah adalah penting untuk meningkatkan tumpuan kepada usaha mewujudkan suasana perniagaan yang kondusif dari segi infrastruktur, dasar pelaburan yang mesra pelabur serta memahami sepenuhnya keperluan pelabur dalam melaksanakan projek pelaburan di Sabah," katanya.- DagangNews.com








