KUALA LUMPUR 7 April — Ketidaktentuan geopolitik global dan turun naik harga minyak mentah ketika ini menjadikan isu keselamatan tenaga terutamanya jaminan bekalan petroleum semakin kritikal.
Situasi tersebut mendorong Persatuan Biodiesel Malaysia (MBA) menggesa kerajaan dapat mempercepat serta memperluaskan pelaksanaan program biodiesel campuran yang lebih tinggi di seluruh negara.
Malaysia ujarnya perlu segera melaksanakan campuran biodiesel sehingga B20 di lokasi yang memiliki infrastruktur sedia ada, selain menaik taraf kemudahan bagi membolehkan pelaksanaan B30 pula.
"Kelewatan pelaksanaan sejak pelancaran program B20 pada 2020 menunjukkan keperluan tindakan lebih agresif, memandangkan pelaksanaan kini masih terhad di kawasan tertentu," katanya dalam kenyataan.
MBA berkata, perkembangan semasa termasuk konflik di Timur Tengah dan langkah negara jiran seperti Indonesia merancang pelaksanaan B50, menunjukkan biodiesel bukan lagi sekadar pilihan dasar awam.
Sebaliknya ujar persatuan berkenaan, campuran minyak itu dilihat sebagai keperluan strategik negara, bagi menangani isu kekurangan bekalan petrol atau diesel, serta peralihan kepada bahan bakar lestari.
Setakat ini tambahnya, hanya Pulau Langkawi di Kedah, Labuan dan Sarawak yang sudah mempunyai stesen biodiesel, manakala sebilangan kenderaan sektor industri masih menggunakan campuran B7.

"Selain pelaksanaan dipercepat, kami mencadangkan beberapa langkah tambahan termasuk pengecualian cukai jualan ke atas biodiesel, dan galakan secara sukarela di luar mandat sedia ada," kata MBA.
Usaha tersebut tambah persatuan berkenaan, diyakini mampu meningkatkan tahap keselamatan tenaga, mengurangkan pelepasan karbon serta melindungi negara daripada ketidaktentuan harga minyak global.
Penggunaan biodiesel yang lebih luas juga berpotensi mengurangkan kebergantungan kepada bahan api import, sekali gus menjimatkan pertukaran asing dan menyokong industri kelapa sawit tempatan.
Pada masa sama kata MBA, pelaksanaan cukai karbon yang dijangka diperkenalkan kerajaan pada tahun ini, diharapkan menjadi pemangkin tambahan kepada penggunaan bahan api alternatif lebih bersih.
"Ini khususnya dalam sektor pengangkutan dan industri berat agar tidak terlalu bergantung tinggi kepada arang batu yang secara kelaziman sering dikaitkan dengan isu pencemaran udara," jelasnya.
Persatuan itu menegaskan, situasi semasa susulan konflik di Timur Tengah, membuka peluang kepada Malaysia memperkukuh komitmen terhadap rumusan tenaga mampan yang berasaskan sumber domestik,
Di samping itu tambah MBA yang ditubuhkan sejak 2008, usaha ke arah tenaga hijau diharapkan dapat meningkatkan daya tahan ekonomi negara dalam jangka panjang. - DagangNews.com








