Keputusan Steel Hawk pada 9MFY25 kukuh disokong pelupusan hutang lapuk, kata TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Keputusan Steel Hawk pada 9MFY25 kukuh disokong pelupusan hutang lapuk, kata TA Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 1 DisSteel Hawk Berhad melaporkan keputusan 9MFY25 yang lebih kukuh daripada jangkaan dengan keuntungan bersih teras RM15.6 juta, bersamaan 91% unjuran setahun penuh.


TA Securities berkata, prestasi positif kumpulan berkenaan didorong oleh margin lebih baik meskipun masih lagi diselubungi kesan sekali sahaja daripada pelaksanaan hutang lapuk yang dilupuskan.


Tambah firma itu, pelupusan bernilai RM8.9 juta serta pemulangan peruntukan berlebihan RM3.8 juta menyebabkan kenaikan ketara kos pentadbiran kepada RM9.9 juta, iaitu 105% tahun ke tahun (YoY).


"Langkah pelupusan tersebut melibatkan seorang pelanggan yang kini dalam proses penggulungan, dan pengurusan mengambil pendekatan berhati-hati dengan membuat peruntukan penuh," katanya dalam nota.


Dari segi prestasi suku pula jelas TA Securities, pendapatan pada 3QFY25 adalah susut 2.7% YoY akibat kelewatan kerja oleh PETRONAS, namun masih disokong kolaborasi kukuh dengan Ibrahim & Sons.


Untung kasar jatuh 51.2% YoY berikutan impak sekali sahaja, tetapi secara sukuan (QoQ), hasil melonjak 73.3%, manakala untung bersih naik 6.8% kepada RM1.7 juta, mencerminkan prestasi operasi.


Firma penyelidikan tersebut turut menaikkan unjuran pendapatan Steel Hawk dari FY25 hingga FY27 sebanyak 22% hingga 23%, susulan margin yang lebih kukuh serta langkah pengoptimuman kos syarikat.


"Sejak Ogos, buku tempahan meningkat kepada RM190.8 juta, termasuk kontrak Binalite Engineering (RM35 juta) dan Sega Elektrik (RM61 juta), memberikan keterlihatan hasil sehingga 2027," katanya.


Sehingga 30 September 2025, syarikat menguruskan 14 kontrak panggilan aktif merangkumi kerja pembinaan, ubah suai, penyelenggaraan zon percikan, operasi jauh dan bekalan tenaga kerja.


Perkembangan tersebut jelas TA Securities, mewujudkan asas pendapatan secara berulang yang stabil kerana peranannya dinilai sebagai kritikal kepada kelangsungan operasi fasiliti PETRONAS sendiri.


Berikutan semakan semula pendapatan, ia meningkatkan harga sasaran kepada 37 sen daripada 31 sen, sambil menaik taraf saranan daripada 'jual' kepada 'beli'. - DagangNews.com