Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) edisi ke-17 menutup tirainya Sabtu lalu dengan pengumuman pelbagai kejayaan dicapai.
Edisi kali ini dikatakan lebih meriah dengan kunjungan kira-kira 400,000 pengunjung awam sepertimana diumumkan Menteri Pertahanan, Dato' Seri Mohamad Khaled Nordin.
Bagaimana pun, ukuran sebenar LIMA adalah pada penyertaan industri pertahanan serta pesawat tentera udara dan kapal-kapal perang.
Penganjur LIMA 2025 tidak berjaya menampilkan pesawat tempur generasi kelima (Gen 5) yang mana ia sepatutnya menjadi segmen pameran penting pada acara tersebut.

Ini kerana sepanjang lebih 30 tahun penganjuran LIMA, acara berprestij ini seringkali menjadi platform kepada pengeluar pesawat untuk mempamerkan teknologi masing-masing termasuk helikopter.
Dengan tema ‘Inovasi Hari Ini Pencapaian Masa Hadapan’, edisi ke-17 LIMA sepatutnya menampilkan pesawat berteknologi mutakhir.
Ramai ingin melihat penyertaan pesawat tempur Gen 5 tetapi tidak kesampaian.
Pesawat Gen 5 yang beroperasi ketika ini seperti F-35 dan F-22 Raptor, kedua-duanya buatan Amerika Syarikat (AS), Chengdu J-20 (China) dan Sukhoi SU-57 Felon (Rusia) manakala KAI KF-21 Boramae (Korea) TAI Kaan (Türkiye) mempunyai teknologi menyerupai gen 5.


Sepatutnya pesawat tempur Gen 5 seperti ini jika bukan kesemua ada dipamerkan pada LIMA 2025 sekali gus meletakkan reputasi acara tersebut.
Ramai yang menyangka pihak Korea Aerospace Industries yang telah berjaya mendapat kontrak pesawat LCA F-50M akan mempamerkan pesawat KF-21 Boramae.
Setidak-tidaknya ia mempamerkan replika bahagian hadapan pesawat mengikut ukuran sebenar.
Begitu juga pihak Türkiye Aerospace Industries yang sedang melobi pesawat Kaan kepada TUDM.
Sebelum itu dikhabarkan pihak Rosoboronexport Rusia akan membawa pesawat Gen 5 terulung mereka pada LIMA 2025, bagaimana pun yang dipamerkan adalah pesawat model.


Tidak dinafikan, faktor hubungan baik antara negara dengan negara serta kepentingan sesuatu acara kepada pihak industri memainkan peranan dalam penyertaan mereka.
Syarikat Lockheed Martin dari AS sejak tahun 2020 tidak ketinggalan mempamerkan pesawat F-35 untuk melakukan pameran statik dan pertunjukan udara pada Pertunjukan Udara Singapura (Singapore Air Show).
Penyertaan seterusnya ialah pada Singapore Airshow 2022 dan Singapore Airshow 2024. Pesawat F-35 USAF hadir bersama pesawat pengisi minyak KC-46A.
Sepertimana diketahui, Singapura adalah bakal pengguna pertama dan mungkin satu-satunya pesawat Gen 5 F-35 ini di rantau Asia Tenggara.
Acara pameran udara paling muda di rantau ini, Bali Airshow 2024 di Indonesia berjaya menarik penyertaan pesawat F-35 milik Tentera Udara Diraja Australia (RAAF).


RAAF menghantar 2 buah pesawat F-35 untuk melakukan pameran statik dan pertunjukan udara yang mana aksi-aksi pesawat ini menjadi tumpuan utama pengunjung.
Semasa sambutan Hari Ulang Tahun Ke-88 Tentera Udara Diraja Thailand pada Mac lalu di Pangkalan Udara Don Mueang, USAF menghantar 2 buah pesawat F-35 untuk pameran.
Bayangkan, ia hanya sebuah acara bertaraf pameran tentera udara tetapi AS memberikan komitmen dengan menghantar pesawat tempur paling canggih.
Malaysia sebenarnya pernah mendahului lain-lain negara serantau apabila menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang menerima kehadiran pesawat Gen 5 dalam latihan udara.
Pada 2014, Latihan Udara Cope Taufan menyaksikan USAF menghantar 6 pesawat F-22 Raptor yang berpangkalan di Hawaii.


Latihan tersebut mendapat liputan meluas media antarabangsa yang melihat kehadiran AS ini sebagai melonjakkan hubungan baik antara kedua negara.
Ini merupakan penyertaan kali pertama pesawat tersebut di rantau ini untuk diuji dengan Sukhoi SU-30MKM dan MiG-29N.
Dalam Eksesais Elangaroo 2022, RAAF menghantar pesawat-pesawat F-35 mereka ke Pangkalan Udara Butterworth untuk latihan perang bersama TUDM.
Semoga LIMA 2027 nanti berjaya menarik lebih banyak pesawat berteknologi moden khususnya pesawat tempur Gen 5 menyertai acara tersebut. - DagangNews.com







