KUALA LUMPUR 7 Jan — Kenanga Research memulakan liputan terhadap Supercomnet Technologies Berhad dengan saranan 'outperform' dan harga sasaran (TP) RM1.00 berbanding paras semasa 71 sen.
Firma penyelidikan tersebut berkata, keyakinan itu disokong oleh prospek pertumbuhan kukuh segmen perubatan susulan permintaan meningkat bagi peranti perubatan, khususnya endoskop jenis pakai buang.
Ia menjangkakan kumpuan itu mencatat prestasi cemerlang pada FY26, didorong pelbagai produk yang kukuh, pelancaran beberapa produk baharu serta pertumbuhan organik daripada pelanggan sedia ada.
"Segmen perubatan dijangka menjadi pemacu utama pendapatan pada FY26 dan FY27, dengan unjuran pertumbuhan keuntungan bersih sekitar 18% setahun bagi kedua-dua tahun tersebut" kata Kenanga.
Selain itu jelasnya, kekuatan model perniagaan Supercomnet yang bersifat unik, berskala dan global, meliputi keseluruhan rantaian nilai daripada proses reka bentuk, pembangunan dan pembuatan produk.
Situasi ini membolehkan kumpulan mengekalkan margin tinggi, dan kedudukan kewangan syarikat juga kukuh dengan tunai RM242 juta, memberikan peluang meneroka peluang pengembangan bukan organik.
Menurut Kenanga, prospek industri endoskop pakai buang di pasaran global turut dijangka berkembang pesat pada kadar pertumbuhan purata terkumpul (CAGR) sekitar 8% bagi tempoh 2025 hingga 2030.
"Keadaan ini disokong peningkatan penggunaan prosedur pembedahan invasif secara minimum, dan dalam konteks tersebut, pendedahan Supercomnet dinilai adalah signifikan dalam jangka panjang," jelasnya.
Kata Kenanga, endoskop dan kabel elektrokardiogram (ECG) menyumbang 40% hasil kumpulan, dengan pelanggan utama, turut mencatat pertumbuhan 15% dan mengunjurkan kadar pertumbuhan hasil bagi FY26.
Di samping itu, peluang pertumbuhan turut disokong pembangunan produk baharu seperti kabel pintar, kabel EEG, sistem infusi picagari serta potensi pengeluaran injap jantung tanpa perlu pembedahan.
Dari segi penilaian pula, firma itu meletakkan nilai saksama Supercomnet berdasarkan 20 kali nisbah harga kepada pendapatan (P/E) pada FY27, iaitu diskaun 30% berbanding purata rakan setara global.
"Kami juga kekal positif terhadap saham kumpulan ini berikutan prospek industri yang cerah, model perniagaan berintegrasi dan margin keuntungan lebih unggul," jelas Kenanga. - DagangNews.com








