Kenanga bersama 3 firma tawar Projek Juara buka peluang teroka potensi aset token RM182 bilion | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kenanga bersama 3 firma tawar Projek Juara buka peluang teroka potensi aset token RM182 bilion

PELANCARAN Projek Juara disertai (dari kiri) Ranjit Singh Gill, Ismitz Matthew De Alwis, Chay Wai Leong, Qin En Looi, Teong Hng, dan Jitendra Singh Jaitawat.
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 6 Ogos — Kenanga Investment Bank Berhad, Saison Capital Pte Ltd, Helicap Labs Pte Ltd (HELIX) dan Satori Research Ltd menawarkan peluang penerokaan potensi aset token di Malaysia.

 

Inisiatif kertas putih yang dikenali sebagai Projek Juara: Peluang Aset Token Malaysia, menganggarkan pasaran tersebut boleh mencecah nilai AS$43 bilion (kira-kira RM181.86 bilion) menjelang 2030.

 

Kata Kenanga, projek khas berkenaan digerakkan oleh keempat-empat firma dari pelbagai negara itu dengan mereka juga merangkumi produk kewangan yang terkawal seperti amanah saham, bon dan sukuk.

 

"Projek Juara sejajar kepentingan negara dan selari hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada April 2025 yang meletakkan Malaysia di hadapan dalam transformasi ini," katanya dalam kenyataan.

 

Empat firma berkenaan berpendapat, dengan langkah yang betul, Malaysia boleh memacu usaha itu dan meneroka potensi negara ini sebagai hab utama untuk aset digital serta industri rantaian blok.

 

Berlatarbelakangkan misi itu kata Kenanga, Projek Juara melakarkan cara ke arah usaha pembinaan ekosistem aset digital yang teguh, memanfaatkan seruan bertindak dan pendekatan seluruh negara.

 

Institusi kewangan tradisional tambahnya, boleh bertindak sebagai penerima awal dan rakan niaga kepada pemilik aset, yang seterusnya mencipta potensi produk secara berwibawa untuk pelaburan.

 

"Penyedia infrastruktur, agensi kerajaan dan pemimpin masyarakat juga penting membentuk masa depan ekonomi digital Malaysia menjadikan pelaburan inklusif dan saksama kepada rakyat," katanya.

 

Projek Juara jelas Kenanga, menggalakkan semua pihak menyedari bahawa masing-masing ada peranan yang berbeza namun saling bergantung dalam mewujudkan landskap pasaran modal secara progresif.

 

Justeru, inisiatif itu menyelami lebih mendalam keadaan institusi, kawal selia dan teknologi yang diperlukan untuk membuka potensi dengan mengambil pengajaran pasaran dan model di Asia Tenggara.

 

Kumpulan itu sendiri telah meluaskan jejak digital dalam beberapa tahun lalu melalui platform canggih seperti Kenanga Digital Investing dan platform broker saham dalam talian Rakuten Trade.

 

"Inisiatif sebegini menunjukkan pendekatan proaktif kami dalam membentuk masa depan kewangan Malaysia melalui inovasi, kerjasama dan kehadiran teguh dalam pasaran aset digital," katanya. 

Pelancaran Projek Juara dihadiri Pengarah Ketua Pembangunan Produk dan Pasaran, Kenanga, Ranjit Singh Gill serta Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif, Kenanga, Datuk Ismitz Matthew De Alwis.

 

Turut hadir ialah Pengarah Urusan Kenanga, Datuk Chay Wai Leong; Rakan Kongsi, Saison Capital, Qin En Looi; Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif, Satori Research, Teong Hng serta Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif, HELIX, Jitendra Singh Jaitawat. - DagangNews.com