Kenaikan kos buruh akibat levi pekerja asing dijangka menekan sektor pembinaan pada 2026 – RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kenaikan kos buruh akibat levi pekerja asing dijangka menekan sektor pembinaan pada 2026 – RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 5 Jan — Peningkatan kos buruh susulan cadangan pelaksanaan levi pekerja asing secara berperingkat dijangka menjadi risiko utama menjejaskan prestasi sektor pembinaan pada 2026.


Bagaimanapun, RHB Research menegaskan yang prospek keseluruhan sektor berkenaan masih lagi positif dengan disokong oleh momentum perkembangan pelbagai projek sedia ada dan aliran kontrak baharu.


Justeru, firma penyelidikan tersebut mengekalkan saranan 'overweight' ke atas sektor pembinaan, dengan menjangkakan CY26 sebagai tahun pelaksanaan untuk kontrak besar yang diperoleh pada CY25.


"Tender ini mula menyumbang kepada pertumbuhan pendapatan kontraktor, dengan Gamuda Berhad, Sunway Construction dan Kerjaya Prospek terus disenaraikan sebagai pilihan," katanya dalam nota hari ini.


Menurut RHB Research, aliran kontrak pula dijangka kekal stabil memandangkan CY26 merupakan tahun pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dengan peruntukan pembangunan kasar ialah RM81 billion.


Jumlah itu jelas firma berkenaan, hampir setara anggaran disemak CY25 sebanyak RM80 billion, dan berdasarkan data Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), nilai kontrak ialah RM202.5 bilion.


Angka tersebut katanya, namun susut 12.6% tahun ke tahun (YoY) berbanding RM231.6 bilion pada CY24, dan ia berpandangan penurunan ini tidak membimbangkan kerana masih lagi mencatatkan asas tinggi.


"Dari segi pecahan, kontrak kerajaan mencatat penurunan ketara sebanyak 22.5% YoY, manakala kontrak swasta hanya susut 9% YoY, menunjukkan daya tahan pelaburan sektor swasta," tambah RHB Research.


Nilai kerja bukan kediaman meningkat 6% YoY kepada RM159.6 bilion, didorong terutamanya lonjakan tender pusat data (DC), antaranya projek Gamuda di Eco Business Park V yang bernilai RM2.1 bilion.


Turut menarik tumpuan jelas firma berkenaan, ialah IJM Corp di Elmina Business Park (RM2.1 bilion), dengan potensi pakej kerja tambahan di Elmina Business Park 2 yang bernilai sekitar RM2 bilion.


Sementara itu kata RHB Research, nilai kontrak kerja-kerja infrastruktur pada CY25 didapati merosot sebanyak 44% YoY kepada RM24 bilion, sejajar dengan pengurangan kontrak daripada kerajaan sendiri.


"Kami namun menjangkakan aktiviti penganugerahan infrastruktur mula kembali rancak pada CY26 pula, melibatkan LRT Pulau Pinang, projek air Perak–Pulau Pinang, serta ART Johor Bahru," katanya lagi. 


Walaupun prospek jangka sederhana kekal positif, ia memberi amaran isu kenaikan kos buruh boleh menekan margin kontraktor dan menjadi faktor perlu dipantau pemain industri pada 2026. - DagangNews.com