KUALA LUMPUR 22 April — Kenaikan secara ketara jualan kenderaan bagi Mac 2026 tidak mencerminkan sudah berlaku trend pemulihan sebenar industri automotif, menurut TA Securities dalam analisisnya.
Sebaliknya kata firma penyelidikan tersebut, pertumbuhan jumlah volum industri (TIV) kira-kira 19.1% bulan ke bulan (MoM) itu lebih dipengaruhi oleh faktor bermusim sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri
Tambahnya, peningkatan jualan kepada sebanyak 63,500 unit pada bulan berkenaan turut dipacu oleh penghantaran tertangguh dan aktiviti praperayaan, bukannya disebabkan permintaan asas yang kukuh.
“Sehubungan itu, kami melihat situasi pemulihan ini bersifat sementara dan tidak menunjukkan trend pertumbuhan secara mampan, dengan permintaan yang sebenar adalah masih lemah,” kata TA Securities.
Secara tahunan (YoY), TIV mencatatkan penurunan 13%, mencerminkan tekanan berterusan terhadap permintaan pengguna, dipengaruhi kos sara hidup tinggi dan kitaran penggantian kenderaan perlahan.
Ujar firma berkenaan, bagi tempoh suku pertama 2026, jumlah jualan turut susut 3.5% kepada 182,100 unit, dengan kedua-dua segmen kenderaan penumpang dan komersial menunjukkan prestasi yang lemah.
Dalam segmen kenderaan nasional kata TA Securities, Proton terus mencatatkan prestasi positif pada Mac 2026 dengan TIV naik 13.4% MoM dan 13.1% YoY, didorong oleh momentum penghantaran lebih baik.

"Sebaliknya, Perodua pula didapati merekodkan situasi penurunan TIV sebanyak 19.5% untuk rekod perbandingan tahunan walaupun berjaya mencatatkan peningkatan sederhana secara bulanan," jelasnya.
Justeru tambah firma berkenaan, secara kumulatif, Proton mencatatkan lonjakan jualan 41.5% kepada 48,400 unit pada suku pertama 2026, prestasi terbaik sejak 2004, manakala Perodua menyusut 12.8%.
Bagi jenama bukan nasional kata TA Securities, jualan meningkat ketara 56.4% MoM pada Mac 2026, namun masih lagi merosot 19.4% YoY, menunjukkan permintaan kekal lemah dalam kebanyakan segmen.
Jenama utama antarabangsa ujarnya, seperti Toyota, Honda dan Volkswagen terus mencatatkan trend penurunan tahunan yang agak ketara, sekali gus menandakan tekanan berterusan dalam pasaran.
"Sementara itu, segmen kenderaan elektrik (EV) terus berkembang pesat pada Mac dengan pendaftaran naik 58.5% YoY kepada 4,800 unit, berdasarkan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)," tambahnya.
Proton jelas TA Securities, mendahului pasaran EV dengan pegangan lebih 50%, diikuti BYD dan Tesla, manakala jumlah pendaftaran bagi suku pertama melonjak lebih dua kali ganda kepada 14,600 unit.
Berdasarkan situasi itu, ia mengekalkan penarafan 'underweight' terhadap sektor automotif dengan unjuran TIV pada 2026 hanya sebanyak 750,000 unit, menyusut 8.6% berbanding tahun sebelumnya.
Firma itu menjangkakan permintaan terus tertekan akibat kos sara hidup tinggi, persaingan sengit, penyusutan tempahan tertunggak serta risiko dasar seperti rasionalisasi subsidi. - DagangNews.com








