Kenaikan ketara harga diesel mula tingkatkan kos, jejaskan perbelanjaan pengguna — TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kenaikan ketara harga diesel mula tingkatkan kos, jejaskan perbelanjaan pengguna — TA Securities

Foto DagangNews.Com / Mohd Naim Firdaus Aziz
Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 13 April — Peningkatan ketara harga diesel dikhuatiri mula memberi kesan negatif kepada corak perbelanjaan pengguna di Malaysia, menurut TA Securities dalam nota analisis hari ini.


Perkembangan tersebut ujar firma berkenaan, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap momentum penggunaan domestik yang semakin perlahan, susulan kenaikan harga diesel kepada RM6.72 seliter.


Ia meningkat 70 sen minggu ke minggu, berpotensi meningkatkan kos logistik dan rantaian bekalan, yang akhirnya terpaksa dipindahkan pula kepada pengguna melalui harga barang runcit lebih mahal.

 

 

 

 

 


“Walaupun impak terhadap inflasi keseluruhan adalah terhad, kesan tidak langsung melalui kenaikan harga makanan dan barangan keperluan boleh menjejaskan sentimen pengguna," jelas TA Securities.


Isu ini mendorong perbelanjaan lebih berhati-hati, dengan data Februari 2026 menunjukkan aktiviti mula sederhana apabila Indeks Volum Perdagangan Distributif (DTI) cuma 4.4% tahun ke tahun (YoY).


Nilai jualan katanya, hanya meningkat pada kadar lebih perlahan sebanyak 5.3% kepada RM156.29 bilion, manakala secara bulanan (MoM) kedua-dua volum dan nilai masing-masing susut 1.8% dan 2.2%.

 

pengguna_DagangNews
Foto DagangNews.Com / Mohd Naim Firdaus Aziz



Tambah TA Securities, kelembapan tersebut turut dipengaruhi oleh prestasi lemah segmen kenderaan bermotor yang menguncup 6.5% YoY, sekali gus mengekang pertumbuhan keseluruhan perbelanjaan.


"Sektor borong dan runcit namun masih mencatatkan pertumbuhan positif masing-masing sebanyak 6.2% dan 5.4%, disokong oleh perbelanjaan secara bermusim sempena Ramadan dan Aidilfitri," katanya.


Asas permintaan domestik masih kukuh, disokong oleh pasaran buruh yang stabil serta pertumbuhan pendapatan isi rumah, tetapi tekanan kos yang meningkat boleh mengehadkan momentum tersebut.


Selain itu ujar TA Securities, pelarasan dasar seperti pengurangan had petrol bersubsidi dijangka memberi kesan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta golongan berpendapatan rendah.

 

 

 

 

 

 

 


Sehubungan itu, firma berkenaan menyemak turun unjuran pertumbuhan penggunaan swasta kepada 5.5% bagi 2026 berbanding 6.1% sebelum ini, susulan tekanan kos dan prospek pertumbuhan hasil lemah.


“Sekiranya harga minyak global kekal tinggi, kesan limpahan kos boleh menjadi lebih ketara dan seterusnya memperlahankan lagi perbelanjaan pengguna,” jelasnya. - DagangNews.com