KUALA LUMPUR 4 Mei – CGS International (CGSI) menjangkakan Dialog Group Bhd akan berada dalam fasa pertumbuhan pendapatan yang lebih kukuh bagi tempoh FY2026 hingga FY2028, disokong kenaikan harga minyak global serta peluasan aset huluan dan terminal simpanan minyak.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan “Tambah” ke atas Dialog dengan harga sasaran lebih tinggi pada RM2.46 berbanding RM2.28 sebelum ini, selepas menaikkan unjuran pendapatan syarikat bagi tiga tahun kewangan akan datang.
Menurut CGSI, konflik berterusan di Timur Tengah yang membabitkan AS/Israel–Iran sejak Februari 2026 telah mencetuskan lonjakan harga minyak mentah global yang memberi manfaat langsung kepada segmen huluan Dialog bermula suku ketiga FY2026.
“Sehubungan itu, kami telah menaikkan unjuran keuntungan bersih teras Dialog sebanyak 7% hingga 12% bagi FY2026–FY2028, selari dengan semakan naik andaian harga minyak Brent kepada AS$82 setong (FY26), AS$85 (FY27) dan AS$80 (FY28) berbanding unjuran terdahulu sekitar AS$67.50 setong.
“Dari segi penilaian segmen huluan, kami menaikkan nilai Dialog daripada 11 sen kepada 27 sen sesaham, termasuk 18 sen bagi aset sedia ada seperti Dialog Resources Sdn Bhd dan Production Sharing Contract (PSC – kontrak perkongsian pengeluaran minyak) D35, D21 serta J4 di luar pesisir (offshore) Sarawak, serta tambahan 9 sen bagi aset masa depan yang belum matang.
“Antara aset utama yang menyokong pertumbuhan jangka panjang ini ialah Baram Junior Cluster (70% pegangan, dengan keputusan pelaburan akhir telah dibuat, dan jangkaan gas pertama sekitar awal CY2027) serta Cendramas PSC (25% pegangan bersama Medco Energi sebagai operator dan EnQuest), yang akan bermula pada 23 September 2026 dan memberi akses kepada aset matang dengan kos kemasukan lebih rendah,” kata CGSI dalam nota kajiannya.
Selain itu, Dialog juga mempunyai beberapa prospek baharu termasuk Raja Cluster dan Mutiara Cluster, kedua-duanya dengan pegangan 100% dan berpotensi memulakan pengeluaran sekitar CY2029, yang menurut CGSI menjadi antara pemacu pertumbuhan jangka panjang segmen upstream syarikat.
Di bahagian hiliran, CGSI berkata perniagaan minyak asas Dialog terus mendapat manfaat daripada kekangan bekalan global, apabila kilang penapisan lebih cenderung menghasilkan diesel susulan harga tenaga yang tinggi yang mengurangkan bekalan global.

“Situasi itu menyebabkan peningkatan permintaan terhadap produk minyak asas yang dipasarkan Dialog melalui kerjasama dengan Shell MDS di Bintulu, dengan potensi pengukuhan segmen produk dan perkhidmatan khusus dalam jangka sederhana,” katanya.
Bagaimanapun, CGSI memberi amaran bahawa segmen EPCC Dialog berdepan risiko tekanan kos pembinaan, khususnya bagi projek berskala besar seperti tangki di Fasa 2 dan Fasa 3 Pengerang serta projek tenaga boleh diperbaharui di Langsat 3.
Projek utama EPCC yang sedang berjalan termasuk pembinaan 272,000 cbm tangki biofuel untuk Pengerang Terminals (Two) Sdn Bhd yang dijangka siap pada CY2028, serta 614,000 cbm tangki untuk BP Singapore di Pengerang Fasa 3 yang turut dijadualkan siap dalam tempoh sama.
Dalam segmen midstream (perniagaan terminal simpanan minyak), CGSI mengekalkan pandangan positif terhadap operasi terminal Dialog seperti Langsat dan Pengerang Independent Terminals (PITSB), yang terus mencatat kadar penggunaan melebihi 90%, mencerminkan permintaan yang stabil walaupun berlaku gangguan geopolitik global.
Firma itu turut melihat potensi pertumbuhan tambahan sekiranya berlaku pemindahan kapasiti storan minyak global dari Fujairah di Timur Tengah ke Asia Tenggara, berikutan risiko keselamatan yang meningkat di rantau tersebut.
Selain itu, sebarang keputusan positif berkaitan peluasan kapasiti PITSB bersama rakan usaha sama seperti Vopak juga dilihat sebagai pemangkin penting kepada pertumbuhan jangka panjang segmen terminal Dialog.
CGSI berkata Dialog berada dalam kedudukan strategik untuk mendapat manfaat daripada kombinasi harga minyak tinggi, kekangan bekalan global, peluang pengembangan huluan baharu serta potensi pengembangan terminal storan di Pengerang. - DagangNews.com








