Kenaikan harga logam, tarif air, telur ayam tingkatkan kadar inflasi - CGS International | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kenaikan harga logam, tarif air, telur ayam tingkatkan kadar inflasi - CGS International

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 23 Okt – Kenaikan harga logam berharga, semakan tarif air di enam negeri dan telur ayam mendorong berlaku peningkatan inflasi utama kepada 1.5% tahun ke tahun (YoY) pada September 2025.


Menurut CGS International (CGSI), walaupun peningkatan ini sejajar dengan jangkaan firma tersebut, ia menandakan tekanan harga yang semakin meluas dalam beberapa komponen utama barangan pengguna.


Kata firma penyelidikan itu, inflasi teras turut didapati meningkat kepada 2.1% YoY, mencerminkan permintaan pengguna yang kekal kukuh selepas diketepikan harga makanan segar dan barang kawalan.

 

 

 

 

 


"Kami mengekalkan unjuran indeks harga pengguna (CPI) 2025 pada 1.6% YoY dan berhati-hati terhadap kesan limpahan daripada semakan harga bahan api bermula akhir September," katanya dalam satu nota.


CGSI menjelaskan, peningkatan dalam kategori utiliti disumbang terutama kenaikan tarif air baharu di Kelantan, Negeri Sembilan, Perlis, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.


Keadaan tersebut jelas firma berkenaan, menyumbang kepada lonjakan kos bekalan air sebanyak 7.8% YoY pada September 2025, berbanding hanya kira-kira 2.7% dicatatkan pada bulan yang sebelumnya.


Selain itu, harga barang kemas dan jam tangan naik ketara 25.4% YoY pada September (Ogos: 20.8%), didorong oleh kenaikan harga emas global kepada AS$3,668 (RM15,515) seauns iaitu 42.5% YoY.


"Trend ini berpotensi berlanjutan ke Oktober, memandangkan harga emas kini mencecah AS$4,071 (RM17,220) seauns, dan dijangka meningkatkan tekanan harga komponen barangan peribadi," kata CGSI.


Laporan firma penyelidikan berkenaan turut merujuk isu lonjakan mendadak dalam harga telur ayam yang meningkat sebanyak 2.2% YoY pada September 2025, berbanding penurunan 1.7% pada Ogos 2025.


Harga telur gred A meningkat daripada RM12.60 (Ogos) kepada RM14.10 bagi satu papan 30 biji pada September, dipercayai kesan tertunda daripada penghapusan penuh subsidi telur bermula 1 Ogos 2025.


Selain itu, segmen insurans kesihatan jelas CGSI, masih kekal mencatat pertumbuhan tinggi 14.7% YoY sejak Julai 2025, susulan pelaksanaan semakan perluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).


"Kami menjangka kadar tersebut akan kekal tinggi bagi tempoh sembilan bulan akan datang sebelum berlaku normalisasi secara beransur-ansur disebabkan penyerapan kesan asas," kata firma tersebut.


Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum ini dalam Laporan Tahunan 2024 bersedia memuktamadkan reka bentuk produk insurans kesihatan asas menjelang akhir 2025, sebelum pelancaran pada 2027.


Dalam pada itu, CGSI berpendapat semakan harga petrol RON95 pada hujung September dijangka memberi impak langsung minimum terhadap inflasi Oktober, namun memberi amaran kemungkinan kesan limpahan.


Inflasi tarif air dijangka kekal tinggi bagi tempoh 11 bulan akan datang berikutan kesan semakan, manakala kenaikan harga emas berpotensi menolak komponen barang peribadi lebih tinggi pada akhir tahun.


"Kami menjangka CPI akan mencapai kemuncak pada Januari 2026, sebelum kembali stabil apabila tekanan harga komoditi reda, tetapi secara keseluruhan, inflasi Malaysia masih kekal sederhana," katanya.

 

 

 

 

 

 


Bagaimanapun jelas CGSI, kenaikan harga emas global, semakan tarif air, dan potensi limpahan harga bahan api masih menjadi risiko utama kepada trajektori harga menjelang suku pertama tahun depan.


Ia mengekalkan unjuran CPI pada 1.6% (2025) dan 2.0% (2026), sambil menegaskan kestabilan harga akan banyak bergantung kepada perkembangan komoditi global serta dasar subsidi. - DagangNews.com