Kenaikan harga bahan mentah berisiko jejaskan margin jangka pendek UWC, kata Phillip Capital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kenaikan harga bahan mentah berisiko jejaskan margin jangka pendek UWC, kata Phillip Capital

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 26 Mac — Tekanan akibat kenaikan harga bahan mentah dan fasa kelayakan projek baharu dilihat berisiko menjejaskan margin jangka pendek UWC Berhad, menurut analisis Phillip Capital.


Bagaimanapun tambah firma penyelidikan tersebut, kumpulan berkenaan masih dapat terus mencatat prestasi kewangan yang memberangsangkan didorong faktor permintaan kukuh sektor semikonduktor.


Syarikat itu merekodkan keuntungan bersih teras suku kedua FY26 sebanyak RM25 juta, meningkat 37% suku ke suku (QoQ) dan melonjak 126% tahun ke tahun (YoY), sekali gus paras tertinggi baharu.


"Prestasi positif UWC itu disokong oleh pendapatan yang lebih tinggi sebanyak RM136 juta (+13% QoQ, +48% YoY), terutamanya daripada segmen semikonduktor," kata Phillip Capital dalam notanya.


Bagi tempoh enam bulan pertama FY26, keuntungan bersih teras meningkat 118% YoY kepada RM46 juta, mengatasi jangkaan apabila mencapai sekitar 51% daripada unjuran penuh tahun firma tersebut.


Berdasarkan situasi itu jelasnya, momentum ini dijangka berterusan pada 2HFY26, dipacu peningkatan tempahan semikonduktor susulan penyambungan semula perbelanjaan modal (capex) pelanggan utama.


Buku tempahan UWC kata Phillip Capital turut naik untuk suku keempat berturut-turut kepada RM250 juta berbanding RM200 juta pada suku sebelumnya, mencerminkan keterlihatan hasil semakin kukuh.
 

UWC


"Walaupun mencatat pertumbuhan pendapatan, margin perolehan kasar pula susut 2 mata peratusan kepada 25% berikutan kos bahan mentah lebih tinggi bagi proses kelayakan produk baharu," jelasnya.


Tekanan harga ini tambah firma penyelidikan berkenaan, namun dijangka hanya bersifat sementara dan akan kembali normal apabila pengeluaran meningkat semula kepada skala baharu yang lebih besar.


Pada masa sama, sumbangan segmen semikonduktor bahagian hadapan UWC meningkat kepada 40% daripada keseluruhan, berbanding 35% sebelum ini, dan menyokong margin  tinggi bagi jangka panjang.


Sehubungan itu, Phillip Capital menaikkan unjuran pendapatan FY26 hingga FY28 kumpulan ini sebanyak 4% hingga 6%, serta meningkatkan harga sasaran (TP) sesaham kepada RM5.75 berbanding sebelum ini.


"Kami turut mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham kumpulan tersebut berikutan profil pendapatan yang disifatkan sebagai kukuh serta aliran tempahan mampan dalam jangka sederhana," katanya.


Firma itu berpandangan prestasi harga saham UWC stabil berbanding rakan industri didorong asas perniagaan teguh, tetapi memberi amaran berhubung beberapa risiko utama perlu diberi perhatian.


Antaranya pengukuhan nilai ringgit yang boleh menjejaskan daya saing eksport serta kemungkinan kelembapan ekonomi global yang boleh menjejaskan perbelanjaan modal industri semikonduktor.


Secara keseluruhan, Phillip Capital melihat UWC berada pada kedudukan baik untuk memanfaatkan kitaran pemulihan semikonduktor global, meskipun berdepan tekanan margin jangka pendek. - DagangNews.com