KUALA LUMPUR 14 Ogos — Peningkatan gaji penjawat awam di negara ini secara berperingkat sejak Disember 2024 masih tidak membantu RCE Capital Berhad, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Firma penyelidikan tersebut berkata, keadaan itu sebaliknya menyaksikan perkhidmatan pinjaman oleh kumpulan berkenaan gagal pula bertambah positif seperti yang diramalkan pada peringkat awal.
Perkembangan itu tambahnya, dapat dilihat menerusi keputusan kewangan syarikat yang berprestasi rendah pada tempoh 1QFY26 dengan kos kredit lebih tinggi daripada jangkaan secara konsensus.
"Selain itu, pertumbuhan pembiayaan kasar terbantut dan nisbah hutang tidak berbayar terus meningkat walaupun ada kenaikan gaji perkhidmatan awam sebanyak lapan peratus," kata Maybank IB dalam notanya.
Sehubungan itu, firma tersebut terus mengekalkan saranan 'pegang' tetapi dengan harga sasaran (TP) sesaham lebih rendah sebanyak RM1.12 iaitu penurunan kira-kira 10 peratus berbanding sebelumnya.
Ia turut mengurangkan anggaran pendapatan RCE Capital sebanyak 11 peratus meskipun mencatatkan dividen tinggi iaitu 6 peratus setahun yang sepatutnya mengehadkan risiko penurunan harga saham.
Sementara itu, RHB Research pula menyifatkan langkah Bank Negara Malaysia menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus membantu kumpulan tersebut.
Firma penyelidikan itu berkata, tindakan dilakukan bank pusat tersebut pada 9 Julai 2025, memberi banyak kesan positif terhadap urusan perbelanjaan faedah ke atas pusingan kredit kumpulan berkenaan.
Tambahnya, perkara yang berkaitan perbelanjaan tersebut ketika ini membentuk kira-kira 30 peratus daripada asas liabiliti pembiayaan kumpulan kredit berkenaan dan pengurangan OPR dilihat amat baik.
"Kami menganggarkan penjimatan perbelanjaan faedah berjumlah RM2 juta setahun yang mungkin tidak terlalu ketara tetapi ada sedikit manfaat daripada pemotongan OPR," kata RHB Research dalam notanya.
RCE Capital baru-baru ini mencatatkan keuntungan bersih pada 1QFY26 sebanyak RM26 juta, penurunan 14 peratus tahun ke tahun (YoY) yang menepati 17 peratus ramalan setahun penuh firma penyelidikan itu.
Penyusutan tersebut berikutan pendapatan operasi yang lebih lemah daripada jangkaan sebanyak RM63.5 juta disebabkan pertumbuhan pembiayaan belum diterima lebih perlahan berbanding unjuran awal.
Mengulas lanjut, RHB Research berkata, kemerosotan berkenaan juga berpunca kerana penjejasan nilai yang lebih tinggi daripada jangkaan sebanyak RM11 juta iaitu peningkatan sebanyak 46 peratus YoY.
"Keadaan negatif ini ekoran kadar kes kebankrapan dan persaraan awal yang masih tinggi dalam kalangan penjawat awam sehingga mempengaruhi momentum pertumbuhan RCE Capital," kata firma tersebut.
Bagaimanapun secara material, syarikat itu sedang merancang terbitan sukuk baharu untuk memanfaatkan pergerakan hasil bon menggalakkan sejak kebelakangan ini tetapi jumlah dan kadar tidak didedahkan.
RHB Research berpendapat, langkah penerbitan sukuk tambahan ini membolehkan kumpulan berkenaan dapat menurunkan lagi jumlah kos keseluruhan dananya dengan ketara dalam tempoh lebih lama.
Tambahnya, harga saham RCE Capital susut sebanyak 16 peratus dalam tempoh tiga bulan lalu, dan berkemungkinan akan terus mengehadkan sebarang potensi terhadap kenaikan harga saham kumpulan itu.
"Kami mengurangkan anggaran pendapatan FY26 hingga FY28 masing-masing sebanyak 15%, 12% dan 10% kerana mengambil kira pertumbuhan penghutang lebih lemah dan andaian tinggi kos kredit," katanya.
Berdasarkan perkembangan itu, RHB Research mengekalkan saranan 'neutral' ke atas prospek kumpulan ini dengan TP pula diturunkan kepada RM1.15 berbanding RM1.25 sebelumnya. - DagangNews.com








