Kenaikan bil Wessex Water lebih rendah daripada dimohon hadkan kesan positif YTL Power – CGSI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kenaikan bil Wessex Water lebih rendah daripada dimohon hadkan kesan positif YTL Power – CGSI

Foto ihsan laman web rasmi YTL Group
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 10 Okt – Keputusan Britain meluluskan hanya kenaikan 4.7% bil air Wessex Water (WW) dijangka mengehadkan impak positif hasil jangka sederhana YTL Power International Berhad (YTLP).


Menurut CGS International (CGSI), kadar baharu itu sebenarnya adalah lebih rendah daripada 8% yang dimohon oleh kumpulan tersebut kepada Competition and Markets Authority (CMA) di negara berkenaan.


Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran juga tidak berubah kepada RM4.20, memetik keperluan penjelasan lanjut asas pengiraan kenaikan dan kesan aliran tunai sebenar.


“Walaupun keputusan CMA memberikan sedikit peningkatan hasil kepada WW, semakan caj lebih rendah daripada jangkaan asal mengehadkan nilai tambah ketara kepada kumpulan,” katanya dalam nota kajian.


Isu pelarasan kadar itu jelas CGSI, bermula Disember 2024, apabila pihak pengawal selia industri air Britain, Office of Water (Ofwat) mengumumkan semakan tarif PR24 selama lima tahun mulai April 2025. 


WW iaitu anak syarikat milik penuh YTLP di negara tersebut, mulanya diluluskan kenaikan purata bil sebanyak 17%, namun kemudian bertindak mencabar keputusan itu bersama-sama empat syarikat lain.


Mereka kata firma berkenaan, memberi alasan tarif baharu yang diselaraskan itu masih tidak cukup untuk menampung keperluan pelaburan besar dan standard alam sekitar yang terlalu ketat di Britain.


"WW mohon kenaikan 8%, tetapi CMA dalam keputusan pada 9 Oktober 2025 hanya membenarkan 4.7%, menjadikan jumlah keseluruhan peningkatan hampir sama dengan jangkaan awal Ofwat," katanya.


CGSI menjelaskan wujud ketidaksepadanan angka, apabila Ofwat sebelum ini perah menyatakan kenaikan sebanyak 21% dalam PR24, manakala CMA pula merujuk kepada 17% yang diluluskan akhir tahun lalu. 


Justeru jelasnya, jika angka CMA adalah asas yang betul, maka tambahan 4.7% mungkin hanya membawa semula kadar bil ke paras asal, tanpa kesan bersih yang besar kepada pendapatan WW selepas ini.


Tambahan pula, CMA menjelaskan yang sebahagian besar pelarasan bil setelah mengambil kira situasi peningkatan kadar faedah, sekali gus menunjukkan impak kepada margin operasi mungkin terbatas.


"Meskipun WW kekal penyumbang penting kumpulan, kami menegaskan potensi tekanan ke atas margin kerana kos operasi dan modal besar masih membayangi pertumbuhan segmen utiliti YTLP," kata CGSI.


Bagaimanapun, ia turut menyenaraikan beberapa pemangkin harga saham yang berpotensi, termasuk kejelasan model pendapatan daripada pusat data (DC) yang berasaskan sistem kecerdasan buatan (AI).


Begitu juga tambah firma berkenaan dengan kemajuan daripada projek baharu seperti loji jana kuasa gas, projek sistem simpanan tenaga bateri (BESS), dan pendapatan berkaitan teknologi gentian.


Dengan kenaikan harga saham sekitar 33% sejak Mei 2025, CGSI melihat ruang penarafan semula sudah mengecil, sementara risiko masih kekal tinggi khususnya dalam perniagaan utiliti di Britain.


"Kami mengekalkan saranan dan harga sasaran ke atas YTLP, bagi menantikan keputusan akhir CMA menjelang Mac 2026 dan kemas kini strategi pertumbuhan jangka panjang," katanya. - DagangNews.com