KUALA LUMPUR 6 Mac — Kementerian Pengangkutan (MOT) bakal memperkenalkan dasar untuk menggalakkan syarikat kargo dan pengangkutan menggunakan perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sebagai alternatif kepada kenderaan berat di jalan raya.
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, dasar berkenaan termasuk menyediakan insentif kepada pemain industri yang terlibat untuk mempromosikan proses peralihan kepada perkhidmatan ECRL sebaik projek berkenaan siap dan boleh beroperasi sepenuhnya.
Beliau menambah, penggunaan ECRL dilihat sebagai penyelesaian berkesan untuk mengurangkan bilangan kenderaan berat di jalan raya, yang boleh membantu usaha kerajaan dalam mengurangkan kadar kesesakan lalu lintas dan meminimumkan risiko kes kemalangan.
"Kami melihat ini sebagai alternatif yang berdaya maju terutamanya bagi laluan melibatkan kenderaan berat ke wilayah Pantai Timur. Dasar ini akan diperkenalkan apabila ECRL mula beroperasi," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Loke menjawab soalan tambahan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) sama ada MOT bercadang melaksanakan dasar atau undang-undang baharu bagi mengekang peningkatan jumlah kenderaan berat pada waktu puncak dan mengurangkan kemalangan di jalan raya.
Pada 4 Februari 2025, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata bahawa kemajuan keseluruhan projek ECRL yang merangkumi Pahang, Kelantan, Terengganu dan Selangor, telah mencapai sebanyak 78.5 peratus setakat Januari lalu.
Perkhidmatan ECRL dijangka mula beroperasi pada awal 2027. Ia melibatkan landasan berkembar elektrik sejauh 665 kilometer dibangunkan secara usaha sama antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd dan China Communications Construction Company.
Sejumlah enam stesen kereta api barang dibina sepanjang laluan berkenaan termasuk lima yang digabungkan dengan perkhidmatan penumpang. Tren kargo tersebut bakal menghubungkan kesemua pelabuhan di Pantai Timur dengan Pelabuhan Klang, Selangor.
Perkhidmatan kereta api tersebut mampu memendekkan perjalanan logistik berbanding penggunaan kapal sebanyak 30 jam serta menjimatkan kos pengangkutan barang melalui jalan laut. - DagangNews.com








