Kementerian Kewangan sediakan tambahan Talian War Room untuk jawab isu perluasan SST | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kementerian Kewangan sediakan tambahan Talian War Room untuk jawab isu perluasan SST

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 23 Jun — Kementerian Kewangan menyediakan lima lagi tambahan Talian War Room untuk menjawab kemusykilan berhubung perluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) 2025.


Menerusi hantaran yang disiarkan dalam laman sosial rasmi kementerian tersebut hari ini, ia turut memaklumkan tiga talian sedia ada masih beroperasi seperti biasa bagi tujuan berkenaan.


Nombor untuk talian itu ialah 03-8323 7406, 03-8323 7407 dan 03-8323 7409 manakala yang baharu juga bermula 03-8323 dengan angka belakangnya ialah 7412, 7414, 7415, 7416 dan 7417.


Menurut hantaran kementerian berkenaan, Talian War Room itu disediakan untuk menjawab sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut berhubung dengan perluasan liputan SST tersebut.


Pada 9 Jun 2025, kerajaan mengumumkan semakan semula kadar cukai jualan yang disasarkan serta peluasan skop cukai perkhidmatan, yang kedua-duanya berkuat kuasa pada 1 Julai 2025.


Kementerian Kewangan menetapkan kadar cukai jualan adalah kekal tidak berubah bagi barangan keperluan asas, manakala kadar lima atau 10 peratus akan dikenakan ke atas barangan terpilih.


Skop cukai perkhidmatan pula diperluas merangkumi penyewaan atau pajakan, pembinaan, kewangan, penjagaan kesihatan swasta, pendidikan dan perkhidmatan kecantikan. - DagangNews.com