Kemelut Jentayu berakhir apabila EGM tidak diteruskan, saman Pengarah Urusan juga ditarik balik | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kemelut Jentayu berakhir apabila EGM tidak diteruskan, saman Pengarah Urusan juga ditarik balik

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 4 Mac — Jentayu Sustainables Bhd mengesahkan cadangan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang diminta untuk diadakan oleh 15 individu pada 27 Februari lalu tidak diteruskan, sekali gus menamatkan kemelut tadbir urus yang tercetus bulan lalu.

 

Dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia pada Selasa, syarikat tenaga lestari itu memaklumkan telah menerima pengesahan bertulis pada 2 Mac daripada peguam yang mewakili kumpulan berkenaan bahawa mesyuarat tersebut tidak diadakan.

 

Pada masa sama, syarikat turut dimaklumkan oleh peguamcara kepada Pengarah Urusannya, Datuk Beroz Nikmal Mirdin, bahawa beliau menarik balik saman pemula yang difailkan terhadap syarikat dan 15 individu terbabit.

 

Menurut Jentayu, Mahkamah Tinggi telah dimaklumkan mengenai penarikan balik tersebut tanpa sebarang bantahan daripada syarikat sebagai defendan pertama, serta Vong Chee Kian (defendan kedua dan perekusisi utama) dan Andy Lai Wee Young (defendan keempat dan antara perekusisi utama).

 

Vong dan Lai sebelum ini turut memaklumkan kepada plaintif pada 25 Februari bahawa mereka menarik balik notis EGM berkenaan.

 

“Sehubungan itu, syarikat mengesahkan bahawa perkara berkaitan cadangan EGM tersebut tidak lagi berbangkit dan pada masa ini tiada EGM yang dijadualkan menurut rekuisisi tersebut,” katanya.

 

Artikel Berkaitan: Mahkamah Tinggi benarkan perintah injunksi halang EGM Jentayu Sustainables, dua defendan tarik balik notis mesyuarat

 

Artikel Berkaitan: Jentayu isytihar cadangan EGM oleh 15 individu sebagai tidak sah, sedia ambil tindakan undang-undang

 

Perkembangan ini dilihat menutup episod pertikaian yang bermula pada 12 Februari lalu apabila sekumpulan pemegang saham berhasrat menyingkirkan Beroz serta beberapa pengarah lain untuk digantikan dengan calon baharu.

 

Pada 20 Februari, Jentayu mengisytiharkan cadangan EGM itu tidak sah atas alasan kumpulan perekusisi tidak secara kolektif memiliki sekurang-kurangnya 10% daripada modal saham terbitan seperti diperuntukkan di bawah Akta Syarikat 2016 bagi memanggil mesyuarat sedemikian.

 

Syarikat itu turut mendakwa wujud unsur konspirasi dan pemalsuan apabila seorang individu yang disenaraikan didakwa menarik balik penglibatan serta menafikan menandatangani notis rekuisisi. Sehari sebelum itu, Beroz telah memfailkan saman pemula bagi menghalang mesyuarat berkenaan.

 

Dari sudut pasaran, saham Jentayu sebelum ini melonjak ke paras tertinggi 52 minggu pada 38 sen pada 16 Februari susulan berita pertikaian tersebut, berbanding sekitar 30 sen seminggu sebelumnya.

 

Bagaimanapun, kaunter itu kembali menyusut dan ditutup pada 29 sen hari ini, menjadikan permodalan pasarannya sekitar RM131.58 juta. - DagangNews.com