Jentayu isytihar cadangan EGM oleh 15 individu sebagai tidak sah, sedia ambil tindakan undang-undang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jentayu isytihar cadangan EGM oleh 15 individu sebagai tidak sah, sedia ambil tindakan undang-undang

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 20 Feb –  Jentayu Sustainables Bhd mengisytiharkan cadangan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang dikatakan akan diadakan pada 27 Februari 2026 oleh 15 individu yang mendakwa sebagai pemohon berdaftar adalah tidak sah dan menyalahi undang-undang.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu menjelaskan bahawa kesemua 15 individu berkenaan secara kolektif tidak memegang sekurang-kurangnya 10% daripada modal saham terbitan syarikat pada setiap masa yang material, seperti yang dikehendaki di bawah peruntukan undang-undang bagi memanggil EGM.

 

Selain itu, pada 20 Februari 2026, syarikat turut menerima sepucuk surat daripada salah seorang daripada 15 individu tersebut yang menyatakan bahawa beliau tidak pernah menandatangani sebarang dokumen untuk membenarkan notis EGM dikemukakan kepada syarikat atau mana-mana pihak bagi tujuan memanggil mesyuarat berkenaan.

 

"Berikutan perkembangan itu, syarikat berpendapat cadangan EGM tersebut adalah tidak sah dan didakwa satu konspirasi, termasuk tetapi tidak terhad kepada unsur pemalsuan dokumen," kata kumpulan itu dalam kenyataan berkenaan.

 

Sehubungan itu, syarikat memaklumkan akan mengambil tindakan undang-undang serta-merta terhadap pihak-pihak berkaitan bagi melindungi kepentingan syarikat dan pemegang saham.

 

Dalam masa sama, semua ahli syarikat dinasihatkan supaya tidak mengambil bahagian atau menyertai cadangan EGM tersebut dalam apa jua cara sehingga isu berkenaan diselesaikan mengikut saluran perundangan. 

 

Semalam dalam pemakluman berasingan Jentayu memaklumkan telah melantik peguam Datuk Chong Loong Men bagi menasihati langkah seterusnya termasuk dari segi kesahihan notis yang dikemukakan. 

 

Ini susulan siasatan awal mendapati sebahagian daripada individu yang memohon supaya EGM diadakan bukanlah ahli berdaftar syarikat.

 

Syarikat itu berkata ia telah menerima notis pada 12 Feb lalu daripada sekumpulan 15 individu yang mendakwa memegang sekurang-kurangnya 10% saham biasa terbitan dan berbayar — paras minimum yang diperlukan untuk memanggil EGM.

 

Namun, hasil semakan lanjut mendapati terdapat maklumat mengelirukan yang diberikan dan sebahagian daripada pihak yang memohon EGM itu sebenarnya bukan ahli syarikat.

 

EGM tersebut dijadualkan berlangsung di Petaling Jaya pada 27 Feb dengan 16 resolusi akan dibentangkan, termasuk cadangan untuk menyingkirkan beberapa pengarah sedia ada serta melantik pengarah baharu. - DagangNews.com