Kelulusan bahan kimia tanaman soya di Brazil jadi pemangkin utama Ancom Nylex – RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kelulusan bahan kimia tanaman soya di Brazil jadi pemangkin utama Ancom Nylex – RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 31 Okt - Kejayaan kelulusan pendaftaran produk bahan kimia untuk tanaman soya di Brazil dijangka menjadi pemangkin utama bagi prospek Ancom Nylex Berhad, menurut RHB Research.


Firma penyelidikan itu menambah, langkah tersebut membuka potensi pasaran besar bagi jualan bahan aktif baharu keluaran syarikat tersebut seperti racun rumpai monosodium methanearsonate (MSMA).


Katanya, syarikat berkenaan kini menunggu kelulusan terakhir untuk pendaftaran MSMA menjelang akhir 2025, yang membolehkan ia menyertai tempoh tender tanaman soya pada April dan Mei 2026.


"Pasaran Brazil dijangka menambah 3% kepada keuntungan kumpulan, dengan sokongan pemegang saham baharu Helm (16%) yang memacu pengembangan perniagaan MSMA," kata RHB Research dalam notanya.


Selain itu, Ancom Nylex jelas firma tersebut, terus mengekalkan asas perniagaan stabil melalui divisyen kimia industri yang menyumbang 62% daripada hasil dan 23% perolehan kasar pada FY25.


Tambahnya, kos penghantaran yang lebih rendah apabila susut sebanyak 45% tahun ke tahun (YoY) pada Oktober 2025, turut membantu dalam mengekalkan margin keuntungan syarikat tempatan berkenaan.


RHB Research berkata, kumpulan itu juga melengkapkan pengembangan kapasiti loji MSMA di Klang, Selangor sebanyak 33% bagi menyokong pengeluaran bahan aktif baharu dikenali sebagai "T" dan "S".


"Kedua-dua produk terkini berkenaan diyakini berupaya menambah potensi jualan gabungan Ancom Nylex yang melebihi sebanyak RM200 juta setahun," jelas firma penyelidikan tersebut lagi.


RHB Research juga menekankan yang kumpulan itu kekal sebagai kurang diberi penilaian dalam sektor keselamatan makanan, meskipun potensi pertumbuhan keuntungannya selama tiga tahun diunjur 17%.


Keadaan tersebut jelas firma berkenaan didorong oleh pelbagai faktor termasuk lonjakan jualan bahan aktif yang baharu, peningkatan pengeluaran tanaman, dan pengurangan kos penghantaran.


Saham Ancom Nylecx ketika ini katanya, diniagakan unjuran 11.8 kali nisbah harga kepada pendapatan pada FY27, di bawah purata sejarah 15 kali dan purata syarikat tempatan lain iaitu 14.5 kali.


"Kami mengekalkan nilai wajar RM1.15 sesaham menandakan prospek pertumbuhan berterusan dengan asas perniagaan kukuh dan pemangkin baharu signifikan," kata RHB Research. - DagangNews.com