KUALA LUMPUR 28 Ogos - Keluarga pengasas Yinson Holdings Bhd, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan MISC Bhd dikatakan akan bergabung bagi meneroka potensi pengambilalihan syarikat infrastruktur tenaga itu pada nilai sekitar AS$1.7 bilion (RM6.86 bilion).
Menurut sumber yang mengetahui perkara berkenaan kepada Bloomberg, kumpulan tersebut sedang membuat persiapan untuk mengemukakan tawaran pada nilai anggaran sekitar RM2.35 sesaham bagi Yinson, yang mungkin dibuat seawal minggu ini.
Saham Yinson melonjak hampir 12% di Bursa Malaysia minggu ini, mencecah paras tertinggi dalam tempoh empat bulan pada RM2.22, sekali gus memberikan syarikat itu nilai pasaran sekitar RM6.5 bilion.
Keluarga Lim, yang merupakan pengasas Yinson, memiliki kira-kira 27.7% kepentingan dalam syarikat tersebut, manakala KWSP memegang sekitar 17.1%.
Yinson dan wakil keluarga Lim bagaimanapun enggan mengulas mengenai perkembangan berkenaan.
KWSP dan MISC juga enggan memberikan maklum balas terhadap permintaan untuk mendapatkan komen.
MISC merupakan syarikat maritim antarabangsa dan sebahagian daripada kumpulan Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS).
Sekiranya tawaran indikatif itu dikemukakan, langkah berkenaan berpotensi membuka jalan kepada satu daripada urus niaga korporat terbesar melibatkan syarikat tenaga tempatan dalam tempoh kebelakangan ini.
Yinson merupakan syarikat infrastruktur tenaga global yang terlibat dalam penyelesaian tenaga luar pesisir, termasuk pengeluaran, penyimpanan dan pemindahan terapung (FPSO), selain tenaga boleh diperbaharui. - DagangNews.com








