KUALA LUMPUR 25 Sept – Kelington Group Berhad menerima kontrak terbaharu yang bernilai kira-kira RM108 juta dianugerahkan daripada sebuah syarikat multinasional dalam industri peranti perubatan.
Kumpulan penyedia utama perkhidmatan kejuruteraan bersepadu tersebut menambah, tender itu diterima pada 25 September 2025 menerusi anak syarikat milik penuhnya, Kelington Technologies Sdn Bhd.
Ia melibatkan kerja-kerja reka bentuk, pembinaan, penyiapan dan pentauliahan sistem penyimpanan automasi bagi kemudahan sebuah gudang serta kerja-kerja infrastruktur luaran di Pulau Pinang.
“Kontrak ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih Kelington bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2025 hingga 2027,” maklumnya kepada Bursa Malaysia.
Tambah kumpulan itu yang disenaraikan di Pasaran ACE pada 2009, kerja-kerja ditetapkan di bawah kontrak tersebut perlu bermula dengan serta-merta dan dijadualkan siap menjelang Januari 2027.
Selain itu, ia menegaskan tiada sebarang kepentingan secara langsung atau tidak langsung dimiliki oleh mana-mana pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan dalam urus niaga kontrak.
Dalam masa sama, Kelington jelas kenyataan berkenaan, tidak menjangkakan sebarang risiko luar biasa selain daripada risiko operasi lazim yang berkaitan dengan pelaksanaan projek tersebut.
Kontrak terbaharu ini mengukuhkan lagi kedudukan syarikat sebagai peneraju dalam penyediaan rumusan kejuruteraan berteknologi tinggi, khususnya dalam sektor-sektor bernilai tambah. - DagangNews.com








