Kelewatan tambah cawangan baharu lemahkan pertumbuhan MR DIY, kata CGS International | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kelewatan tambah cawangan baharu lemahkan pertumbuhan MR DIY, kata CGS International

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 14 Ogos — Potensi pertumbuhan MR DIY Group (M) Berhad bagi tahun kewangan 2025 diramal terjejas jika berlaku kelewatan pertambahan cawangan baharu, kata CGS International (CGSI).

 

Firma penyelidikan tersebut berkata, kumpulan peruncit itu wajar memberi tumpuan serius kepada rancangan pengembangan dalam masa terdekat yang dijangka menyaksikan 190 cawangan tambahan.

 

Tambahnya, pelan itu termasuk menerusi kerjasama strategik dengan rakan kongsi dari China, KK Group harus disegerakan terutama di kawasan kurang menerima perkhidmatan bagi menarik pelanggan baharu.

 

"Sekiranya pelancaran kedai baharu didapati sedikit daripada unjuran, ia menyebabkan pertumbuhan hasil syarikat mungkin rendah dan margin yang lebih lemah pada FY25," kata CGSI dalam satu nota kajiannya.

 

MR DIY sebelum ini dilapor mahu menyasarkan penembusan segmen liputan demografi yang lebih luas dengan penawaran pelbagai produk seperti barangan kecantikan, kesihatan, gaya hidup, dan fesyen.

 

Kumpulan itu melihat pembukaan cawangan baharu sebagai pemangkin utama pertumbuhan syarikat, dan membolehkannya terus mengukuhkan kedudukan sebagai peruncit nilai nombor satu di negara ini.

 

Mengulas lanjut, CGSI berkata, selain isu pertambahan cawangan yang perlu dipercepatkan, kumpulan itu juga berisiko terjejas sekiranya sentimen lemah pengguna di negara ini berterusan agak lama.

 

"Bagaimanapun, kami yakin masalah ini mampu ditangani setelah menilai laporan keuntungan bersih MR DIY pada suku kedua berakhir 30 Jun 2025 yang naik kepada RM158.6 juta," tambah firma berkenaan.

 

Katanya, peningkatan 2.4 peratus tahun ke tahun (YoY) itu menjadikan keuntungan bersih sepanjang tempoh separuh pertama 2025 bertambah baik kepada RM335 juta iaitu melonjak sebanyak 11.5 peratus YoY.

 

Perkembangan positif itu kata CGSI, turut dibantu faktor pengukuhan kadar ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan yuan China kerana sebahagian besar daripada produk jualan runcitnya diimport.

 

Berdasarkan kepada situasi ketika ini, firma berkenaan masih mengekalkan saranan 'tambah' ke atas MR DIY dengan harga sasaran tidak berubah kepada RM2.09 sesaham. - DagangNews.com