KUALA LUMPUR 4 Mei – Kelewatan kerajaan melaksanakan cukai karbon dikhuatiri boleh melemahkan daya saing eksport Malaysia di pasaran global, menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB).
Firma penyelidikan berkenaan menambah, masalah tersebut diletakkan sebagai kebimbangan paling utama yang diketengahkan dalam analisis terkininya terhadap Dasar Pasaran Karbon Negara (NCMP).
Ujarnya, tanpa ada sebarang isyarat harga karbon yang jelas, industri berintensiti tinggi karbon mungkin tidak terdorong untuk mempercepatkan pelaburan mereka dalam teknologi rendah karbon.
Keadaan itu kata HLIB, sekali gus meningkatkan risiko dikenakan kos tambahan di bawah mekanisme luar seperti Carbon Border Adjustment Mechanism (CBAM) oleh negara-negara Kesatuan Eropah (EU).
“Dengan harga rujukan bagi suku pertama 2026 mencecah 75 euro (RM348) setiap tan karbon dioksida, pengeksport mungkin perlu menanggung kos jika mekanisme domestik tidak diselaraskan,” jelasnya.
Pada masa sama, NCMP dilihat sebagai pemangkin penting pertumbuhan sektor tenaga boleh diperbaharui (RE), dan dasar itu dijangka mempercepatkan penggunaan tenaga solar dalam kalangan korporat.

Menurut HLIB, teknologi solar kini berada pada tahap matang, mudah diskala dan berdaya maju secara komersial, menjadikannya antara rumusan terawal diterima bagi mencapai sasaran penyahkarbonan.
HLIB turut mengekalkan saranan 'overweight' ke atas sektor RE, dengan Solarvest Holdings Berhad dipilih sebagai penerima manfaat utama dipacu projek solar berskala besar dan buku tempahan kukuh.
“Kekuatan terkini saham tenaga RE didorong beberapa faktor termasuk kestabilan harga modul solar, peningkatan fokus keselamatan tenaga, serta pelaksanaan berterusan skim kapasiti RE,” jelasnya.
Selain itu, HLIB menjangkakan peningkatan pelaburan dalam infrastruktur pengurusan sisa, sejajar dengan fokus kerajaan Malaysia kepada pengurangan pelepasan karbon kos rendah di bawah NCMP.
Walaupun penangguhan cukai karbon boleh meredakan tekanan ekonomi jangka pendek, firma itu menegaskan ia berisiko memperlahankan kemajuan Malaysia ke arah sasaran iklim yang lebih agresif.
Justeru, syarikat tempatan disaran memanfaatkan tempoh peralihan ini bagi mengukuh sistem pelaporan pelepasan karbon selaras dengan piawaian pemantauan, pelaporan dan pengesahan (MRV) NCMP.
"Pelaburan awal dalam inisiatif penyahkarbonan wajar dimulakan, dan ini membantu syarikat mengurus kos pematuhan pada masa depan apabila mekanisme harga karbon diperkenalkan,” tambahnya. - DagangNews.com








