Kelemahan segmen ayam pedaging seret prestasi CCK Consolidated pada 9MFY25 - PublicInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kelemahan segmen ayam pedaging seret prestasi CCK Consolidated pada 9MFY25 - PublicInvest

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 27 Nov - Prestasi CCK Consolidated Holdings Berhad sepanjang 9MFY25 terjejas apabila segmen ayam pedaging mencatatkan penyusutan ketara, yang melemahkan keuntungan keseluruhan.


Menurut Public Investment Bank, keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) 3QFY25 merosot 25% tahun ke tahun (YoY) kepada hanya RM17.5 juta, yang dipengaruhi oleh pelbagai faktor.


Antaranya permintaan rendah terhadap produk ayam, pengurangan subsidi kerajaan serta sumbangan kecil segmen runcit dan operasi Indonesia selepas pelupusan separa pegangan kepada Creador.


"Ini membawa keuntungan 9MFY25 kepada RM52.8 juta, di bawah jangkaan kami sendiri iaitu 67%, tetapi masih lagi selari dengan unjuran konsensus sebanyak 70%," kata firma tersebut dalam notanya.


Berikutan prestasi runcit lemah daripada dijangka, ia menurunkan unjuran hasil FY25 hingga FY27 sebanyak 4%, namun mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran rendah kepada RM1.45.


Bagaimanapun kata PublicInvest, hasil pada 3QFY25 naik 1.9% YoY kepada RM264.5 juta, susulan sumbangan lebih kukuh daripada segmen runcit dan udang, manakala operasi Indonesia kekal teguh.


Katanya, ia berikutan permintaan yang tinggi terhadap produk makanan diproses, tetapi segmen ayam pedaging pula didapati merosot 8.7% YoY, menjadi punca utama kelemahan prestasi suku tersebut.


"Margin keuntungan sebelum cukai (PBT) segmen runcit turut susut kepada 8.7% daripada 9.4% tahun lalu, sementara PBT ayam pedaging merosot 45.5% YoY akibat penurunan subsidi kerajaan," jelasnya.


PublicInvest meskipun begitu, menjangka situasi 4QFY25 lebih kukuh didorong perbelanjaan perayaan hujung tahun serta peningkatan gaji minimum pekerja yang menyokong perbelanjaan majoriti pengguna.


Tumpuan utama kumpulan itu kini katanya, ialah operasi Indonesia, yang bakal menjadi pemacu utama FY26 apabila kapasiti pengeluaran dapat ditingkatkan tiga kali ganda kepada 60 tan metrik setahun.


Kemudahan loji baharu berkenaan jelas firma penyelidikan itu, hampir siap dan bakal beroperasi sepenuhnya pada tahun depan, sekali gus membuka akses ke pasaran baharu seperti Medan dan Surabaya.


"Selain itu, kos makanan ternakan yang diunjur lebih rendah dan pengukuhan nilai ringgit berbanding mata wang asing lain dijangka memperbaiki margin keuntungan CCK Consolidated," kata PublicInvest.


Secara keseluruhan ujarnya, walaupun segmen ayam pedaging terus memberi tekanan kepada keputusan FY25, asas permintaan barangan keperluan serta pengembangan kapasiti di Indonesia masih positif.


Perkembangan itu meletakkan kumpulan berkenaan di kedudukan kukuh untuk pertumbuhan lebih baik memasuki FY26 dengan ia turut mengekalkan saranan terhadap saham tersebut. - DagangNews.com