Kelemahan permintaan eksport jejaskan pemulihan hasil Hup Seng, kata MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kelemahan permintaan eksport jejaskan pemulihan hasil Hup Seng, kata MBSB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 12 Ogos — Proses pemulihan pendapatan Hup Seng Industries Berhad sepanjang tahun ini dijangka terjejas berikutan kelemahan permintaan eksport pelbagai produknya, menurut MBSB Research.

 

Firma penyelidikan tersebut berkata, situasi negatif berkenaan berkemungkinan besar mengehadkan usaha pemulihan kumpulan pengeluar produk makanan itu dan diburukkan lagi dengan kos input tinggi.

 

Tambahnya, jualan di pasaran domestik itu sepatutnya kekal berdaya tahan, disokong oleh kehadiran jenama mantap kumpulan, walaupun musim selepas perayaan mungkin melembapkan jumlah permintaan.

 

"Kami menjangka sebarang pemulihan margin akan bergantung kepada normalisasi harga bahan mentah dan lantunan semula yang berterusan dalam permintaan eksport," kata MBSB Research dalam notanya.

 

Semalam, Hup Seng melaporkan keuntungan bersih susut kepada RM8.5 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2025, berbanding RM9.02 juta pada suku sebelumnya meskipun hasil meningkat kepada RM84.8 juta.

 

Mengulas lanjut, firma berkenaan menambah, berdasarkan keputusan 2QFY25 berada di bawah jangkaan, ia menyemak semula ramalan pendapatan FY25 hingga FY27 lebih rendah sebanyak -12%, -13% dan -11%.

 

Perubahan tersebut kata MBSB Research, untuk mencerminkan andaian jualan eksport yang lebih lemah dan tekanan kos input secara berterusan, walaupun hasil dari tahun ke tahun (YoY) bertambah baik.

 

"Keuntungan operasi 2QFY25 turun -5.4% YoY kepada RM11.5 juta, kerana harga yang lebih tinggi untuk bahan mentah utama tertentu memampatkan margin keuntungan kasar kepada 27.6%," kata firma tersebut.

 

Untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini, keuntungan operasi jatuh -16.6% YoY kepada RM25.7 juta, dengan margin ditimbang oleh kos input yang tinggi manakala sumbangan eksport pula kekal lemah.

 

Berdasarkan perkembangan semasa itu, MBSB Research mengekalkan pendirian 'neutral' terhadap prospek jangka pendek Hup Seng dengan harga sasaran sesaham diturunkan kepada 92 sen berbanding RM1.04.

 

Ia tambah firma itu, mengambil kira unjuran eksport yang perlahan dan jangkaan permintaan pasaran domestik masih lagi rendah sepanjang baki enam bulan terakhir tahun ini.  - DagangNews.com