KUALA LUMPUR 23 Okt – Kelemahan dolar Amerika Syarikat (AS) terus memberi tekanan kepada harga jualan purata (ASP) produk eksport Pantech Group Holdings Berhad, menurut Phillip Capital.
Keadaan negatif tersebut tambah firma penyelidikan berkenaan, sekali gus menjejaskan teruk prestasi kedudukan kewangan kumpulan itu bagi separuh pertama tahun kewangan 2026 (1HFY26).
Syarikat itu mencatat untung bersih RM28 juta, merosot 50% tahun ke tahun (YoY) dan berada di bawah jangkaan firma serta pasaran, masing-masing hanya 30% dan 27% daripada unjuran penuh tahun.
"Prestasi lemah itu berpunca daripada pendapatan dan margin rendah berbanding jangkaan, susulan penurunan nilai dolar AS mengurangkan ASP produk eksport," kata Phillip Capital dalam notanya.
Situasi berkenaan turut disebabkan kelewatan perbelanjaan projek minyak dan gas (O&G) domestik yang mengakibatkan Pantech merekodkan pendapatan sebanyak RM448 juta, menurun kira-kira 12% YoY.
Katanya, ia ekoran kemerosotan 23% dalam segmen perdagangan, susulan kelewatan perbelanjaan projek O&G tempatan; dan penurunan 1.5% bagi segmen pembuatan kerana ASP rendah akibat dolar AS lemah.
Phillip Capital menambah, campuran produk yang kurang menguntungkan serta leveraj operasi yang lebih rendah turut menyebabkan margin kasarnya susut sebanyak tiga mata peratusan kepada 14%.
"Walaupun untung terjejas, Pantech mengekalkan dasar pulangan kepada pemegang saham dengan dividen interim tinggi sebanyak 2.0 sen sesaham bagi 2QFY26, berbanding 1.5 sen pada sebelumnya," katanya.
Firma itu menjangkakan jumlah pembayaran dividen FY26 mampu mencapai 6.0 sen sesaham, selaras dengan unjuran awal, manakala bagi suku kedua FY26, pendapatan turun 10% YoY kepada RM227 juta.
Keadaan ini kata Phillip Capital disebabkan penurunan jualan dalam segmen pembuatan (-12% YoY) yang mencatatkan volum eksport lebih rendah daripada kilang keluli karbon kumpulan berkenaan.
Sementara segmen perdagangan pula kata firma penyelidikan tersebut, turut terkesan apabila susut 7% YoY, akibat jualan yang perlahan daripada industri O&G dan sektor lain di pasaran tempatan.
"Margin kasar juga jatuh 4 mata peratusan kepada 12%, manakala untung bersih teras 2QFY26 turun 51% YoY kepada RM13 juta, mencerminkan impak gabungan hasil dan margin lebih rendah," katanya.
Phillip Capital namun masih lagi mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap saham Pantech, tetapi ia menurunkan harga sasaran (TP) sesaham kepada sebanyak 85 sen berbanding 89 sen sebelum ini.
Pelarasan itu dibuat selepas semakan turun unjuran perolehan sesaham (EPS) FY25 hingga FY27 sebanyak 6% hingga 33% dengan mengambil kira pendapatan dagangan dan margin yang lebih rendah.
Ia menjangkakan keuntungan pada FY26 bakal susut sekitar 30%, selaras dengan penangguhan pelaksanaan projek O&G domestik, tetapi sahamnya masih dianggap menawarkan profil pulangan yang menarik.
"Bagaimanapun antara risiko utama termasuk permintaan paip, injap dan kelengkapan lebih lemah daripada jangkaan, kelewatan projek baharu, serta kenaikan kos operasi," katanya. - DagangNews.com








