KUALA LUMPUR 12 Mei – Kerajaan Negeri Kelantan sedang mempergiat usaha untuk menjadikan kawasan Melawi di Mukim Kuala Rekang sebagai “Zon Harum Manis Klate” yang akan berfungsi sebagai hab pengeluaran utama buah tersebut dalam usaha memperkukuh sektor agromakanan berasaskan tanaman bernilai tinggi.
Inisiatif tersebut dilaksanakan menerusi Projek Komuniti Tanaman Mangga Harum Manis Al-Falah yang menyasarkan pembangunan tanaman secara berfasa dengan penglibatan komuniti setempat sebagai penerima manfaat utama.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Negeri, Datuk Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata projek berkenaan telah memasuki tahun ketiga bagi peserta baharu, manakala secara keseluruhan kini berada pada tahun kelima pelaksanaannya sejak dimulakan.
“Kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM120,000 bagi memperkukuh pelaksanaan projek tersebut yang melibatkan 10 peserta sedia ada serta 10 peserta baharu pada fasa semasa.
“Setiap peserta dibekalkan dengan 100 anak benih pokok mangga Harum Manis varieti induk Perlis untuk diusahakan di kawasan seluas kira-kira seekar seorang, sebagai sebahagian usaha memperluaskan kawasan penanaman di Melawi.
“Selain itu, kerajaan negeri turut menyasarkan penambahan 50 peserta baharu bagi memperkukuh lagi kawasan tanaman sekali gus mengukuhkan kedudukan Melawi sebagai pusat pengeluaran Harum Manis Klate di Kelantan,” katanya ketika melawat kebun milik peserta.
Secara keseluruhan, dianggarkan kira-kira 3,000 pokok mangga Harum Manis telah ditanam di sekitar kawasan tersebut dengan sebahagiannya sudah mula mengeluarkan hasil selepas mencapai usia matang.
Pelaksanaan projek ini turut menggunakan pendekatan mentor dan mentee bagi memastikan pemindahan ilmu dan kemahiran berlaku secara lebih berkesan dalam kalangan peserta.
Beliau berkata peserta juga menerima pelbagai bantuan termasuk input pertanian, penyediaan kawasan tanaman, sistem pam air dan pengairan, selain mengikuti kursus teknikal serta sesi lawatan pembelajaran ke Perlis bagi memperkukuh pengetahuan berkaitan tanaman Harum Manis.
“Mereka juga telah dibawa ke Perlis bagi menyertai kursus tanaman Harum Manis serta melawat beberapa ladang contoh sebagai pendedahan kepada amalan pengurusan ladang yang lebih sistematik dan produktif,” katanya. - DagangNews.com








