KUALA LUMPUR 12 Jun — Binastra Corporation Berhad dikhuatiri menerima risiko tinggi untuk mengalami situasi kekurangan hasil sekiranya kekurangan projek pembinaan baharu, menurut RHB Research.
Firma penyelidikan tersebut berkata, keadaan berkenaan antara kelemahan utama yang perlu diambil kira secara serius oleh kumpulan itu dalam meneruskan kemampanan pendapatan jangka panjang.
Sehubungan itu, ia menyarankan kumpulan tersebut untuk memberi tumpuan lebih kepada pemerolehan kontrak pekerjaan pembinaan yang sebenarnya dilihat sebagai berpotensi besar di sekitar Johor.
"Risiko ketara yang dialami Binastra pada ketika ini ialah kurang projek baharu dan ini termasuk faktor trend penambahan pekerjaan yang lembap di seluruh negara," kata RHB dalam nota kajiannya.
Semalam, kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, ia memperoleh kontrak bernilai RM268 juta bagi pembinaan sebuah blok apartmen, Tuan Heritag3 Residency di Segambut, Kuala Lumpur.
Kemenangan tender yang terkini diperolehnya bagi tahun ini sehingga kini telah mencecah sebanyak RM976.9 juta, serta meningkatkan jumlah buku tempahan tertunggaknya kepada kira-kira RM4.3 bilion
RHB Research difahamkan, kontrak yang diterima daripada pelanggan terkini Binastra iaitu TNJ Development Sdn Bhd itu sebenarnya membentuk 90 peratus daripada buku tempahan tertunggaknya.
"Kami menjangkakan margin keuntungan bersih untuk pekerjaan ini bukan dalam julat biasa antara 8 hingga 10 peratus, sebaliknya berada rendah sedikit daripada 5 hingga 7 peratus," katanya.
Justeru, firma tersebut berpendapat, Binastra berkemungkinan besar perlu aktif melibatkan diri secara serius dengan menjalinkan rakan kongsi usaha sama untuk melaksanakan tugas berkenaan.
Ia namun percaya kumpulan itu mampu memperoleh banyak kontrak dari wilayah selatan, antaranya daripada Exsim Development yang memiliki banyak tanah di Johor Bahru untuk dimajukan.
Lokasinya strategik dan projek di situ berpotensi meraih nilai pembangunan kasar (GDV) terkumpul melebihi RM3 bilion atau unjuran pembinaan yang dijangka mungkin melepasi nilai RM1.5 bilion.
"Maxim Global, satu lagi pelanggan utama Binastra, juga memperoleh sebidang tanah seluas 2.6 hektar di Taman Pelangi, Johor Bahru berpotensi untuk pembangunan masa depan," kata RHB Research.
Berdasarkan perkembangan semasa itu, firma berkenaan mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham kumpulan tersebut dengan harga sasaran juga tidak berubah kepada RM2.21 sesaham. - DagangNews.com








