KUALA LUMPUR 11 Jun — Masalah kekurangan kapasiti simpanan Westports Holdings Berhad dibimbangi menyekat keupayaannya untuk mencatatkan pertumbuhan volum kontena yang lebih kukuh, kata UOB Kay Hian (UOBKH) Research.
Firma penyelidikan tersebut berkata, tempoh masa menunggu berlabuh kapal di Pelabuhan Klang secara purata adalah antara dua hingga tiga hari, manakala kadar kesesakan halamannya pula berlegar pada tahap kritikal iaitu 90 peratus.
Tambah firma itu, pertumbuhan volum kontena operator berkenaan juga adalah lemah berbanding dengan beberapa rakan setaranya di Selat Melaka seperti Pihak Berkuasa Pelabuhan Singapura dan Pelabuhan Tanjung Pelepas di Johor.
"Walaupun Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Ruben Emir Gnanalingam mengekalkan unjuran pertumbuhan satu digit, isu volum terhad kerana kekurangan kapasiti simpanan harus diatasi," kata UOBKH Research dalam nota kajian
Keluarga Gnanalingam memiliki sebanyak 45.5 peratus kepentingan dalam Westports, yang melaksanakan kemudahan pelabuhan sepanjang 11 kilometer secara bersepadu terletak di Pulau Indah, Pelabuhan Klang dan dibuka pada 1995.
Sementara itu, firma penyelidikan tersebut bagaimanapun berkata, tanda-tanda pemulihan pemindahan penghantaran masih lagi boleh diperhatikan dalam data volum kontena Westports untuk tempoh empat bulan pertama 2025.
UOBKH Research juga menjangkakan kebangkitan semula dalam perdagangan semasa tempoh bertenang tarif Amerika Syarikat (AS) selama 90 hari, dengan Westports mampu memenuhi unjuran pertumbuhan volumnya yang tidak berubah.
“Walaupun volum pintu masuk kelihatan lemah, penghantaran memulihkan pertumbuhan pada April 2025, yang ini memberi manfaat kepada NCB Holdings Bhd dan Westports dengan jumlah pertumbuhan pulih kepada 3 peratus," katanya.
Pertumbuhan keseluruhan Pelabuhan Klang sendiri sebanyak 4 peratus tahun sehingga kini juga berada di landasan tepat ke arah mencapai sasaran 15 juta unit kontena sepanjang 2025 dengan prospek pertumbuhan adalah 2.3 peratus.
"Kami berpendapat, walaupun data Mei 2025 mungkin kelihatan lemah, ia merupakan permulaan kepada impak pelaksanaan tarif AS, apabila banyak kargo China ke AS semasa tempoh bertenang tarif 90 hari," kata UOBKH Research.
Mengenai kenaikan tarif pelabuhan itu sebanyak 30 peratus, firm tersebut berkata, ia akan dibahagikan kepada tiga fasa, dengan mekanisme semakan yang lebih telus dan tersusun serta jangkaan harga ditetapkan. - DagangNews.com








