Kekalkan sistem BTS dan STB langkah seimbang bagi kestabilan pasaran perumahan – REDHA | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kekalkan sistem BTS dan STB langkah seimbang bagi kestabilan pasaran perumahan – REDHA

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 3 NovPersatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) menegaskan keputusan kerajaan mengekalkan pelaksanaan kedua-dua sistem bina-dulu-jual (BTS) dan jual-dulu-bina (STB) merupakan langkah seimbang yang mengambil kira kepentingan rakyat serta pandangan industri.

 


REHDA dalam kenyataan hari ini berkata, sistem STB telah memainkan peranan penting dalam meningkatkan kemampuan memiliki rumah dan membantu pemaju melaksanakan agenda perumahan negara secara lebih menyeluruh.

 


Presidennya, Datuk Ho Hon Sang berkata, pelaksanaan sistem BTS secara menyeluruh berisiko menjejaskan keupayaan pemaju dalam menyediakan rumah mampu milik.

 


“Pelaksanaan sistem BTS secara ketat akan memberi kesan terhadap kemampuan pemaju menyediakan rumah mampu milik,” katanya.

 


Beliau menjelaskan, sistem BTS sebenarnya sudah meluas diamalkan, dengan antara 80 hingga 85 peratus jualan rumah tahunan berlaku dalam pasaran sekunder yang menggunakan sistem tersebut.

 


Menurutnya, Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 turut memperuntukkan skim BTS 10:90 sebagai pilihan dan REHDA menggalakkan pemaju berkeupayaan kewangan tinggi untuk melaksanakannya.

 


Terdahulu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, mengesahkan di Parlimen bahawa kerajaan akan mengekalkan kedua-dua sistem BTS dan STB bagi memastikan keseimbangan dalam pasaran perumahan negara.

 


Dalam perkembangan sama, REHDA turut menyatakan kesediaan bekerjasama dengan kementerian berkenaan dalam pelaksanaan pelan reformasi perumahan yang dibentangkan oleh Nga, bagi memperkukuh penyampaian perumahan yang mampan dan menepati masa dalam kalangan pemaju. - DagangNews.com