KUALA LUMPUR 14 Ogos — Momentum pertumbuhan Alpha IVF Group Berhad dijangka melonjak berikutan kejayaannya mencapai kadar kehamilan sebanyak 80 peratus setakat ini, menurut TA Securities.
Firma penyelidikan tersebut berkata, secara purata kumpulan itu merekodkan prestasi melebihi 70 peratus bagi setiap klinik rawatan kesuburannya, iaitu mengatasi paras global hanya kira-kira 65 peratus.
Tambahnya, perkembangan konsisten itu turut didorong oleh trend industri utama terutamanya ledakan pelancongan perubatan di rantau Asia Tenggara dan peningkatan permintaan daripada pelanggannya.
"Keadaan ini juga disebabkan kadar penurunan global dalam jumlah sperma dan semakin ramai wanita memilih untuk membina keluarga setelah lewat perkahwinan," kata TA Securities dalam nota kajiannya.
Alpha IVF ketika ini beroperasi di Malaysia, Singapura, dan Indonesia, dengan tumpuan utama kepada perkhidmatan bantuan reproduktif (ARS), khususnya dalam rawatan persenyawaan in-vitro (IVF).
Diasaskan pada 2011, ia terkenal dengan kadar kejayaan kehamilan yang tinggi, hasil pendekatan bersepadu meliputi ramai pakar perubatan terkemuka, serta penyelidikan dan pembangunan secara berterusan.
Mengulas lanjut, TA Securities yakin dengan rancangan Alpha IVF untuk menambah lebih banyak cawangan sekurang-kurangnya lapan lagi klinik baharu kumpulan itu menjelang akhir pada tahun kewangan 2027.
"Kami optimis dengan usaha syarikat ini yang menyasarkan pengembangan mereka ke Johor dan Sabah serta Bali, Indonesia dan dua pusat pakar penuh di Filipina yang berpotensi tinggi," katanya.
Ia dibantu reputasi kumpulan ini diiktiraf secara global, termasuk sebagai Pusat Kesuburan Terunggul Asia 2024 oleh majalah Newsweek dan penerima Anugerah Inovasi Teknologi daripada Healthcare Asia.
Alpha IVF juga memenuhi keperluan had harian sekurang-kurangnya RM1 bilion sejak enam bulan lalu dan kriteria keuntungan diperlukan Suruhanjaya Sekuriti untuk berpindah ke Pasaran Utama Bursa Malaysia.
Berdasarkan perkembangan tersebut, TA Securities yang baru memulakan liputan ke atas kumpulan itu menetapkan saranan 'beli' dengan harga sasaran sebanyak 36 sen sesaham. - DagangNews.com








