Kejayaan AWC menang tender TM, langkah pertama teroka segmen pengurusan pusat data - HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kejayaan AWC menang tender TM, langkah pertama teroka segmen pengurusan pusat data - HLIB

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 31 Okt – Kemenangan AWC Berhad meraih tender Telekom Malaysia Berhad (TM) menandakan kejayaan awal syarikat teknologi itu menembusi segmen pengurusan fasiliti pusat data (DC).


Menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB), perolehan berkenaan sekali gus memperkukuh kedudukan syarikat tersebut dalam industri perkhidmatan pengurusan fasiliti bersepadu (IFM) bernilai tinggi.


Kontrak bernilai RM99.1 juta untuk tempoh lima tahun, bermula 1 November 2025 itu diraih oleh anak syarikat milik penuhnya, Ambang Wira Sdn Bhd yang melibatkan kerja-kerja di bangunan TM Central 1. 


"Pencapaian itu membuka lembaran baharu AWC yang sebelum ini lebih tertumpu kepada projek IFM bersifat tradisional seperti penyelenggaraan mekanikal dan elektrikal," kata firma itu dalam notanya.


Sebaliknya jelas HLIB, IFM di DC memerlukan kepakaran teknikal tinggi melibatkan sistem tenaga dan penyejukan, kebakaran dan keselamatan, pemantauan persekitaran serta operasi rangkaian berlebihan.


Ia berpendapat yang pelaksanaan berkesan projek terbaharu itu mampu membina rekod prestasi kukuh kepada syarikat untuk meneroka lebih banyak peluang bersama pengendali DC lain pada masa depan.

 

Artikel berkaitan: AWC raih kontrak pengurusan bangunan 5 tahun bernilai RM99.12 juta dari TM

 

Selain itu tambah firma tersebut, bersama-sama kontrak IFM oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) yang dimenangi pada 27 Oktober 2025, kedua-dua projek berkenaan dijangka menyumbang hasil sekitar RM36 juta.


"Kami turut meramalkan keuntungan bersih berjumlah RM2.6 juta kepada AWC dengan masing-masing merekodkan sebanyak RM1.5 juta daripada TM dan selebihnya RM1.1 juta daripada JKR," jelas HLIB.


Berdasarkan perkembangan positif tersebut, firma berkenaan mengekalkan unjuran pendapatan syarikat itu serta saranan sebagai masih tidak berubah iaitu 'beli' dan harga sasaran juga 84 sen sesaham.


Jangkaan ini bersandarkan 11 kali pendapatan sesaham (EPS) pada FY26 sebanyak 7.6 sen, sambil menyifatkan sahamnya menarik dengan penilaian murah dan pendedahan unik sistem pengurusan sisa.


Segmen tersebut yang baharu dilaksanakan AWC jelas HLIB, semakin mendapat perhatian banyak syarikat dalam konteks pematuhan agenda amalan alam sekitar, sosial dan urus tadbir (ESG).


"Pada masa ini, sahamnya didagangkan masih rendah, yang menandakan potensi kenaikan tetap ada sekiranya momentum kontrak baharu berterusan," tambahnya. - DagangNews.com