Kejatuhan harga koko, gandum, gula bantu Nestle pulih margin untung pada 2H25 - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kejatuhan harga koko, gandum, gula bantu Nestle pulih margin untung pada 2H25 - RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 17 Okt – Kelegaan kos bahan mentah susulan kejatuhan harga komoditi utama seperti koko, gandum, susu tepung dan gula diunjur memulihkan margin untung Nestle (Malaysia) Berhad.


Menurut RHB Research, perkembangan positif berkenaan dijangka berlaku pada tempoh enam bulan terakhir tahun ini dengan dibantu oleh pengukuhan nilai ringgit dalam pasaran pertukaran mata wang asing.


Firma penyelidikan itu menambah, faktor-faktor ini meletakkan Nestle dalam kedudukan lebih kukuh untuk mencatat pertumbuhan pendapatan mampan dengan persekitaran ekonomi yang semakin stabil.


“Penurunan kos input secara ketara, disokong pula oleh kadar tukaran yang baik, memberikan ruang kepada pemulihan margin lebih awal daripada jangkaan kumpulan itu sendiri,” jelasnya dalam nota kajian.


Justeru RHB Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap Nestle dan kenaikan harga sasaran kepada RM121 berbanding RM95, dengan potensi kenaikan 16% serta unjuran hasil dividen pula 3% bagi FY26.


Ramalan pertumbuhan pendapatan tahunan dikekalkan pada kadar kukuh iaitu 17% bagi tempoh tiga tahun akan datang, disokong oleh pemulihan sentimen pengguna dan strategi pemasaran yang agresif.


Nestle juga dijangka terus mendapat manfaat daripada perluasan inisiatif bantuan tunai bersasar Sumbangan Asas Rahmah (SARA), yang kini menjadi tumpuan utama kerajaan menerusi Belanjawan 2026.


"Peningkatan peruntukan SARA menunjukkan tumpuan besar terhadap pembelian barang keperluan harian, kelebihan besar Nestle yang memiliki jenama kukuh dan rangkaian produk luas," kata RHB Research.


Selain itu jelas firma berkenaan, antara faktor lain yang menyokong prospek syarikat ini termasuk peningkatan pelancong asing sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, yang merangsang jualan domestik.


Kestabilan pasaran pekerjaan dan pertumbuhan gaji tambahnya, turut menyokong permintaan produk asas di sampinhg pemulihan keyakinan pengguna terhadap jenama Nestle selepas pemasaran semula.


Sehubungan itu, RHB Research menaikkan unjuran pendapatan FY25 hingga FY27 masing-masing sebanyak 3%, 5% dan 5%, selari dengan semakan ramalan ke atas pertumbuhan volum jualan Nestle.


"Bagaimanapun, ia perlu berwaspada dengan kemungkinan masih berlaku pelbagai risiko utama termasuk kenaikan secara mendadak harga komoditi global dan trend kemerosotan penguasaan pasaran," katanya.


Firma tersebut namun percaya kekuatan fundamental Nestle serta kedudukannya dalam pasaran pengguna asas akan terus menawarkan kestabilan dan pertumbuhan syarikat. - DagangNews.com