KUALA LUMPUR 10 Julai – Penurunan harga saham Malayan Cement Berhad sebanyak 11% dalam tempoh sebulan dilihat tidak mencerminkan prospek sebenar syarikat itu, menurut CGS International (CGSI).
Tambah firma penyelidikan tersebut, kumpulan itu memanfaatkan kos bahan api yang dijangka semakin rendah, manakala pertumbuhan perniagaan konkrit bancuh siap (RMC) dan eksport berpotensi positif.
Situasi ini membuka peluang pelabur meningkatkan pegangan dalam saham syarikat kerana unjuran pendapatan sesaham (EPS) hingga FY27 terus dinaik taraf, dengan penilaian semasa di bawah julat.
"Justeru kami mengekalkan saranan 'tambah' terhadap saham Malayan Cement dengan harga sasaran (TP) RM10.10 sesaham berdasarkan kaedah aliran tunai terdiskaun (DCF)," jelas CGSI dalam analisisnya.
Permintaan terhadap produk simen tradisional menurutnya adalah kekal stabil, manakala segmen RMC serta eksport dijangka menyumbang lagi pertumbuhan pendapatan tambahan bagi FY26 hingga FY27.
Strategi syarikat itu katanya, adalah mengekalkan harga jualan purata (ASP), dan tekanan kos terus berkurangan susulan penyusutan harga arang batu sejajar penurunan harga minyak mentah global.

Malayan Cement jelas CGSI, turut meningkatkan inventori arang batu menjelang musim tengkujuh serta terus mempelbagaikan sumber bahan api kepada alternatif seperti biomas, plastik dan sisa dirawat.
"Perubahan dasar kerajaan Indonesia memusatkan eksport arang batu di bawah satu badan tiada beri kesan ketara kerana syarikat ini hanya mendapatkan bekalan arang batu berkalori rendah," ujarnya.
Firma itu mengekalkan unjuran pertumbuhan hasil dan keuntungan bersih tahunan terkumpul (CAGR) hingga FY2028, disokong pertumbuhan volum jualan serta ASP simen sekitar RM414 bagi setiap tan.
Menurut CGSI, permintaan simen keluaran Malayan Cement dijangka naik apabila projek infrastruktur utama serta beberapa projek bekalan air berskala besar memasuki fasa pembinaan yang lebih aktif.
Dalam pada itu, segmen RMC dilihat sebagai pertumbuhan baharu syarikat, khususnya untuk pembinaan pusat data (DC) yang kelazimannya menggunakan sistem binaan berindustri (IBS) di tapak projek.
"Hasil segmen ini dijangka berkembang antara 15% hingga 26% setahun sepanjang FY26 hingga FY28, dengan sumbangannya kepada hasil kumpulan berpotensi meningkat kepada 31% hingga 43%," tambahnya.
Selain itu, kilang Malayan Cement di Langkawi turut menerima banyak pertanyaan daripada pasaran luar negara dan CGSI berpandangan pelaksanaan projek berskala besar mengukuhkan prospek. - DagangNews.com








