RHB Research: Pembiayaan motosikal melonjak 52% pacu pinjaman Aeon Credit pada 1QFY27 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RHB Research: Pembiayaan motosikal melonjak 52% pacu pinjaman Aeon Credit pada 1QFY27

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 10 Julai – Lonjakan 51.5% dalam pembiayaan motosikal terutama model berkuasa tinggi menjadi pemangkin perniagaan pinjaman Aeon Credit Service (M) Berhad bagi tempoh suku pertama.

 

RHB Research berkata, meskipun keputusan 1QFY27 adalah sedikit di bawah unjurannya berikutan kos kredit lebih tinggi, ia masih lagi mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM6.80 sesaham.

 

Situasi itu menawarkan potensi kenaikan 18% serta hasil dividen sekitar 6% bagi FY27, selari sasaran pertumbuhan syarikat walaupun berdepan peningkatan kos kredit dan tekanan kos sara hidup.

 

"Aeon Credit mencatatkan keuntungan bersih RM93 juta bagi 1QFY27, naik 20% berbanding tempoh sama tahun lalu, mewakili 21% daripada unjuran keuntungan penuh tahun kewangan," kata firma tersebut.

 

Ujar RHB Research, pertumbuhan keuntungan operasi sebelum rosot nilai (PIOP) adalah 9% dipacu oleh peningkatan jumlah pembiayaan kasar, namun diimbangi pula oleh kos kredit yang naik kepada 4.64%.

 

Bagaimanapun, kadar itu masih rendah berbanding 4.98% direkodkan pada 1QFY26, disokong penurunan peruntukan kerugian kredit dijangka (ECL) meskipun jumlah hapus kira pembiayaan adalah tinggi.

 

Aeon Credit_DagangNews2026

 

Selain itu, kerugian syarikat bersekutu Aeon Credit meningkat 11%, tetapi pertumbuhan keuntungan bersih masih mengatasi peningkatan keuntungan operasi hasil pengembangan aktiviti pembiayaan.

 

"Jumlah pembiayaan kasar berkembang kepada RM16 bilion, meningkat 10% berbanding tahun lalu, sekali gus mengatasi sasaran pertumbuhan tahunan pengurusan sebanyak 8%," kata RHB Research.

 

Menurutnya, momentum itu disokong peningkatan ketara pembiayaan motosikal bersempena sambutan Aidilfitri, sekali gus menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan portfolio pembiayaan syarikat.

 

Dari sudut kualiti aset, nisbah pinjaman tidak berbayar (NPL) Aeon Credit kekal stabil pada 2.60%  walaupun pihak pengurusan mengakui tekanan kos sara hidup memberi kesan kepada ramai pelanggan.

 

Sementara itu, nisbah perlindungan kerugian pinjaman (LLC) masih stabil pada 195% berbanding suku sebelumnya, dan rendah daripada 217.1% yang dicatatkan setahun lalu, mencerminkan tahap kukuh.

 

"Justeru, kami mengekalkan unjuran pendapatan serta TP, dan menjangkakan kemungkinan semakan turun terhadap unjuran FY27 sekiranya kos kredit kekal tinggi," kata firma tersebut. - DagangNews.com